PETALING JAYA: Enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) hari ini menyangkal penjelasan Tan Sri Abu Zahar Ujang berhubung dakwaan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki di beberapa syarikat.
Malah, mereka menegaskan kenyataan Abu Zahar itu adalah pendapat peribadinya sebagai pengerusi lembaga itu.
Penjelasan yang mewakili Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Dr. Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff itu timbul selepas LPPR mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan berhubung dakwaan pemilikan saham itu selepas perkara itu diputuskan pada mesyuarat panel LPPR pada 24 November tahun lalu.
Dalam satu kenyataan, enam ahli itu menjelaskan, ahli-ahli lembaga yang lain tidak pernah menyuarakan pendirian yang sama seperti Abu Zahar.
“Kami ingin menjelaskan bawah ahli lembaga pengarah, sama ada dalam mesyuarat berkenaan atau pada bila-bila masa yang lain tidak pernah menyuarakan pendapat seperti yang dinyatakan Abu Zahar.
Kami juga ingin menyatakan bawah semua komen berkenaan adalah pandangan peribadi Abu Zahar,” kata mereka, hari ini.
Mengulas lanjut, mereka berkata, ahli lembaga pengarah LPPR mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk kepada mana-mana panel dan jawatankuasa yang lain.
“Panel dan jawantankuasa seperti sebuah Jawatankuasa Bebas, Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah dan Panel Aduan SPRM.
“Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan pada sidang media Abu Zahar.
“LPPR tidak mempunyai kuasa penyiasatan kerana ia ditubuhkan sebagai Lembaga Penasihat. Kami perlu memberikan penjelasan ini untuk menjaga integriti LPPR dan institusi,” jelas mereka. – UTUSAN ONLINE










