Ditendang peniaga angkara ambil gambar gerai - Utusan Malaysia

Ditendang peniaga angkara ambil gambar gerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gara-gara gerai diambil gambar, seorang peniaga bertindak menendang individu terbabit dalam kejadian di pasar pagi OUG dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 45 saat dirakam orang awam yang tular melalui satu pautan Facebook berhubung kejadian itu yang berlaku pada 10.45 pagi, semalam

Katanya, mangsa iaitu lelaki berusia 58 tahun mendakwa dicederakan oleh suspek yang berusia 53 tahun selepas mengambil gambar tapak niaga milik peniaga berkenaan sebagai bukti bahawa berlaku ketidakpatuhan syarat lesen perniagaan.

“Suspek dikatakan mendirikan tapak niaga melebihi jumlah tapak yang dibenarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang mengambil gambar itu bertindak menyerang dan menendang lelaki berkenaan di bahagian belakang badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Amihizam berkata, mangsa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Ujar beliau, susulan itu, pihaknya mengambil keterangan lelaki terbabit serta isterinya berusia 48 tahun bagi membantu siasatan.

“Semakan dilakukan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan cedera dengan sengaja,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan di luar kawalan yang boleh mendatangkan kecederaan dan ketakutan kepada mana-mana pihak.

“Spekulasi berkaitan video ini perlu dihentikan sehingga penyiasatan pihak polis selesai dijalankan.

“Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya