`Dia tetap darah daging saya' - Utusan Malaysia

`Dia tetap darah daging saya’

AHLI keluarga dan penduduk kampung menunggu jenazah wanita dipenggal ity di Surau An-Nur Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Saya maafkan dan berharap dia insaf. Dia (suspek) tetap anak…darah-daging saya”.

Demikian luahan suami kepada wanita yang mati dipenggal anak lelakinya di rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, kelmarin.

Menurut warga emas berusia 61 tahun, ketika kejadian dia sedang menjual udang di sekitar Kampung Bukit Belimbing.

“Saya kemudian didatangi penduduk kampung yang memaklumkan kejadian itu lalu segera pulang.

“Sejurus tiba, saya melihat kawasan kediaman dipenuhi orang ramai dan isteri sudah pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Surau An-Nur di kampung itu semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang anak tergamak memenggal kepala ibunya yang berusia 56 tahun menggunakan parang.

Kejadian itu disedari seorang lagi anak mangsa apabila ibunya tidak menjawab panggilan telefon.

Suspek berusia 28 tahun yang melarikan diri diberkas polis dengan bantuan penduduk kampung di kawasan belukar belakang rumahnya.

Jelas bapa kepada tujuh anak itu, dia sekeluarga sememangnya masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“Biarpun tersentak dengan perbuatan anak lelaki (suspek), saya halalkan dan memaafkan dia. Saya masih terkejut dan mungkin ada kesilapan dia yang kita tidak ketahui,” ujarnya.

Dalam pada itu, dia berkata, arwah isterinya sempat berpesan supaya segera menguruskan urusan pengembumian sekiranya meninggal dunia pada empat bulan lalu.

“Arwah sememangnya seorang yang peramah, rajin beribadah dan tidak pernah memukul anak. Pemergiannya dianggap satu kehilangan besar buat keluarga dan kami reda dengan ketentuan Allah,” luahnya.

Tambah beliau, dia turut memohon semua pihak tidak menyebarkan gambar yang tular bagi menjaga aib keluarga.

Jenazah Allahyarham ketika ini masih di Hospital Buloh dan dijangkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang selepas solat Asar ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN