PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan, akan mengetuai Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya bagi melakukan bedah siasat laporan prestasi skuad kebangsaan dalam Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.
Menurut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dell diberi mandat melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas ini terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.
Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, tempoh hari yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.
Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan bersama langkah-langkah penambah baikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan.
Dalam kempen Piala AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0.
Bagaimanapun mereka tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.-UTUSAN ONLINE










