PETALING JAYA: Remaja dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, Daniel Iskandar melantik peguam untuk mewakili dirinya.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Tetuan Hariz Syakinah & Co. telah dilantik untuk mewakili beliau, dengan bantuan persatuan tersebut.
“Dalam masa sama, PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. telah mendapat makluman bahawa terdapat satu prosiding semakan jenayah yang telah ditetapkan mengikut peruntukan di bawah Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah (KTU) di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di Shah Alam pada 17 Januari 2022.
“Atas dasar tersebut dan di atas arahan untuk mewakili Daniel, maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. akan hadir di hadapan Mahkamah Tinggi pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, PPMM juga bimbang dengan pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakang Daniel dan kejadian berkenaan.
“Dalam pandangan PPMM, ia adalah tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingan Daniel, mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk diteruskan di media sosial, terutama dalam menghormati prosiding yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Justeru, PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. bagi pihak Daniel memohon jasa baik semua pihak untuk mengelakkan daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menampilkan kekeliruan lanjut di pihak masyarakat awam, sehinggalah penyelesaian prosiding di Mahkamah Shah Alam tersebut.
“PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. akan memberikan kenyataan penuh yang lanjut selepas selesainya prosiding tersebut kelak,” katanya. – UTUSAN ONLINE