KUALA LUMPUR: Biarpun melakukan serangan dari pelbagai sudut, Kuala Lumpur (KL) Thunder buntu untuk menembusi pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians yang terlalu ampuh ketika tumpas dalam aksi kedua Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 kelmarin.
Dibarisi tonggak yang sama ketika merangkul kejuaraan berganda musim lalu, KL Thunder bukan sekadar tewas, malah kalah mudah 14-21, 11-21 kepada naib juara Premier 2020 itu.
Selepas mengalahkan Bomba Fighters dalam aksi pembukaan untuk muncul juara Sumbangsih, ramai menjangkakan KL Thunder akan terus ‘mengganas’ pada perlawanan kedua.
“Perlawanan Sumbangsih menentang Bomba Fighters Jumaat lalu bukan pertarungan sebenar dan tidak menguji KL Thunder sepenuhnya.
“Ada sedikit peningkatan ditunjukkan daripada perlawanan sebelum ini, namun tentangan yang diberikan ATM Guardians terlalu sengit.
“Saya sudah cuba menggunakan tenaga pemain di bangku simpanan, namun segala serangan daripada tekong iaitu Syahir Rosdi dan Ahmad Aizat kurang menjadi.
“Serangan untuk mendapatkan mata tidak menjadi. Kita dah cuba tetapi pertahanan ATM terlalu baik
“Pasukan mempunyai lima hari sebelum perlawanan seterusnya, jadi kami akan perbaiki serangan dan kesilapan yang ada pada hari ini untuk menerusi persaingan di STL,” kata jurulatih KL Thunder, Rashidi Nordin kepada Utusan Malaysia.
Kata Rashidi, dia selalu mengingatkan pemain agar tidak bermain di bawah tekanan kerana turun sebagai juara bertahan.










