Bayi jantung berlubang perlu RM80,000 untuk pembedahan  - Utusan Malaysia

Bayi jantung berlubang perlu RM80,000 untuk pembedahan 

NAYRA UFAIRA Mohd. Hairul Hafis yang menderita masalah jantung berlubang memerlukan dana daripada orang ramai sebanyak RM80,000 untuk menjalani pembedahan segera.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sejak berada dalam kandungan, doktor mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena pada tubuh kecil Nayra Ufaira Mohd. Hairul Hafis yang kini berusia sembilan bulan. 

Ketika itu, saiz kandungan ibunya juga terlalu kecil hingga memaksa pihak hospital bersedia untuk menjalankan prosedur pembedahan  bagi memudahkan kelahiran Nayra Ufaira. 

Derita bayi itu terus berpanjangan apabila kira-kira enam bulan selepas dilahirkan pula, doktor mengesan terdapat bunyi denyutan yang ganjil di bahagian jantungnya. 

Nayla Ufaira kemudian segera dirujuk ke klinik pakar kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut. 

Menurut Pengerusi pertubuhan kebajikan One Hope Charity dan Welfare, Datuk Chua Sui Hau, hasil pemeriksaaan selepas itu mengesahkan bayi tersebut menghidap penyakit jantung berlubang selain mempunyai injap ‘atriobentricular’ yang terlalu lebar. 

“Pembedahan segera bagaimanapun tidak boleh dilakukan pada masa itu kerana saiz badan Nayra Ufaira terlalu kecil. 

“Jadi, doktor pakar memutuskan pembedahan perlu dijalankan serta-merta apabila berat badan adik Nayra Ufaira mencapai lima kilogram (kg),” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Ketika ini, katanya, berat badan bayi perempuan itu telah melebihi lima kg, namun, kos pembedahan yang tinggi iaitu dianggarkan melebihi RM80,000 menyebabkan kedua-dau ibu bapanya buntu. 

Jelas Sui Hau, bapa Nayra Ufaira iaitu Mohd. Hairul Hafis Hashim, 25, dan ibunya, Najwa Fazira Mohd. Fazli, 23, masing-masing bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang yang sama. 

Katanya, gaji pokok pasangan tersebut iaitu masing-masing sebanyak RM1,800 dan RM1,300 sebulan bagaimanapun menyukarkan mereka untuk mengumpul dana berkenaan dalam masa yang terdekat. 

“Sehubungan itu, mereka telah meminta bantuan daripada kami untuk tujuan itu selain bantuan untuk menguruskan rawatan dengan pihak hospital,” katanya. 

Tambah beliau, orang ramai yang berhasrat membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Bhd.  di nombor 3193433435 atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya