Banjir di Terengganu merebak ke Kemaman, Kelantan makin surut - Utusan Malaysia

Banjir di Terengganu merebak ke Kemaman, Kelantan makin surut

Angin kencang diKampung Jambu Bongkok di Marang pada 31 Disember 2021. - PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Banjir gelombang ketiga yang melanda negeri ini merebak ke daerah Kemaman semalam sekali gus menjadikan jumlah mangsa yang terjejas meningkat kepada 433 orang.

Bagaimanapun, di Kelantan mangsa banjir gelombang kedua yang melanda negeri itu pada sebelah petang berkurangan kepada 1,009 orang yang masih berada di 16 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding lebih 1,500 orang di 18 PPS pada sebelah pagi.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri memaklumkan, setakat pukul 4 petang semalam, seramai 43 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS di Kemaman manakala di Dungun kekal seramai 390 orang.

“Bilangan mangsa banjir di Dungun kekal seperti yang direkodkan pada sebelah pagi dengan PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukur menempatkan 225 penduduk manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja berjumlah 165 mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, keadaan banjir di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukur di sini beransur baik apabila air sungai mulai surut namun penduduk belum dibenarkan pulang berikutan bimbang banjir kembali berlaku.

Utusan Malaysia difahamkan mangsa di Dungun dijangka bertambah dengan melibatkan pemindahan penduduk di Kampung Minda.

Tinjauan di laman web Public Infobanjir mendapati, hanya dua sungai yang mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun di samping Sungai Besut di Jambatan Keruak (Besut) manakala lapan stesen lain dikenal pasti berada di tahap waspada.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Tengku Maimun Tengku Ismail, 57, berkata, PPS adalah rumah keduanya kerana dalam setahun sekurang-kurangnya empat kali dia dan keluarga berpindah ke situ.

Menurutnya, pengalaman bergelar mangsa banjir dilalui sejak lebih 15 tahun menetap di Kampung Pasir Raja di sini dan keluarganya antara penduduk terawal yang diarahkan berpindah setiap kali musim tengkujuh berikutan kedudukan rumah yang berhampiran sungai.

“Kadangkala rasa penat berpindah, membasuh dan mengemas rumah setiap kali banjir. Tahun ini sahaja sudah tiga kali kediaman dinaiki air. Malah, baru dua minggu lepas kita masuk PPS, semalam terpaksa berpindah lagi ke PPS,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di PPS Kampung Pasir Raja.

Tengku Maimun berkata, bencana banjir paling teruk dialami pada 2014 selepas rumahnya ditenggelami air hingga bumbung.

Seorang lagi penduduk, Norliza Abdul Wahab, 55, dari Kampung Shukur, berkata, menjadi rutinnya menyimpan semua barangan ke tempat lebih tinggi yang disediakan di rumah seawal bulan November bagi mengelak perabot dan kelengkapan elektrik rosak akibat banjir.

Di KELANTAN, banjir gelombang kedua yang melanda tiga jajahan di negeri ini iaitu Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah beransur surut menjelang sebelah petang semalam tetapi dua sungai utama masih melepasi paras bahaya.

Setakat pukul 5 petang, aplikasi InfoBencanaJKM melaporkan mangsa banjir berkurangan kepada 1,009 orang di 16 PPS berbanding lebih 1,500 orang di 18 PPS pada sebelah pagi.

Kerajaan negeri menerusi portal ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan dua sungai utama masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai (39.66 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai (25.24 meter).

Sementara itu, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pemindahan mangsa banjir lancar semalam, hasil koordinasi teratur semua agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu, sikap penduduk Jeli yang akur pada arahan diberikan pasukan keselamatan dari semasa ke semasa juga melancarkan lagi proses pemindahan mereka.

“Banjir teruk di beberapa negeri menjadi pengajaran kepada penduduk dan mereka akur apabila terus berpindah ke PPS tanpa menunggu untuk diselamatkan,” katanya.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan sangat lebat di Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang bermula kelmarin.

Pada 1 dan 2 Januari pula, MetMalaysia melaporkan hujan lebat diramal melanda Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Bachok dan Pasir Puteh.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×