SEREMBAN: Bilangan mangsa banjir di Negeri Sembilan di pusat pemindahan sementara (PPS) tiga daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Jempol menunjukkan penurunan.
Setakat pukul 8 pagi tadi, seramai 1,515 orang daripada 387 keluarga berada di 14 PPS di ketiga-tiga daerah berkenaan.
Laporan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Negeri Sembilan memaklumkan, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Kelamah di Tampin masih menempatkan jumlah mangsa teramai iaitu 500 orang daripada 124 buah keluarga.
Di daerah berkenaan secara keseluruhannya, 960 mangsa masih berada di lapan PPS yang beroperasi.
Di Jempol pula, seramai 368 mangsa terjejas banjir masih berada di empat PPS yang dibuka sementara 133 orang masih berada di dua PPS di daerah Kuala Pilah. – UTUSAN