Wujudkan pasukan atasi kenaikan harga - Utusan Malaysia

Wujudkan pasukan atasi kenaikan harga

JACOB GEORGE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu jawatan kuasa bertindak perlu diwujudkan bagi mengkaji dan mencari langkah penyelesaian jangka panjang kenaikan harga barang dan makanan ketika ini.

Ini kerana Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dilaksanakan berkuat kuasa Selasa lepas hingga 31 Disember ini hanya satu langkah jangka masa pendek.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kerajaan mesti mempunyai satu jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dianggotai oleh ahli-ahli kabinet, pegawai khas kementerian, golongan profesional bagi merangka satu pelan jangka panjang isu kenaikan harga barang dan makanan.

Katanya, ini kerana soal kenaikan harga yang dihadapi ketika ini tidak sepatutnya dijadikan satu isu yang melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna semata-mata, tetapi merangkumi semua kementerian.

“Semua kementerian dan golongan profesional perlu duduk satu meja bincang pelan jangka masa panjang untuk atasi kenaikan harga ketika ini.

“Jika kita tak buat ini (jawatankuasa bertindak), tetapi hanya melaksanakan (skim harga), maka ia langsung tidak boleh selesaikan masalah yang ada ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, kerajaan melaksanakan skim harga berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini sebagai langkah drastik mengatasi isu kenaikan dan menstabilkan harga barangan keperluan asas pada masa ini.

Skim harga baharu tersebut meliputi 12 jenis barangan keperluan asas berkuat kuasa di peringkat ladang sehinggalah ke pemborong yang tertakluk dengan rantaian pembekalan.

Skim harga berkenaan dilancarkan untuk mengatasi kenaikan harga barangan dan pihak kementerian telah memilih 12 jenis barangan antaranya barangan basah seperti ayam, telur ayam dan sayur-sayuran.

Senarai barang yang dipilih adalah pilihan bagi golongan B40 dan M40 yang berpotensi untuk naik lagi harganya, jika tiada pemantauan dari kerajaan.

Menurut Dr. Jacob, pihaknya bagaimanapun tidak menolak SHMKM itu dapat membantu golongan M40 dan B40 yang sentiasa menjadi prinsip utama ketika ini.

Namun katanya, semua pihak tidak boleh menolak untuk mengakui kenaikan harga yang berlaku di negara ketika ini adalah satu isu global, luar biasa dan masih lagi belum dibincangkan.

“Contohnya dari segi monopoli, talian pemasaran dan distribution, jadi kerana itu kita perlukan satu taskforce ini supaya dapat diatasi dari segi fokus semua kementerian dan bukan KPDNHEP sahaja.

“Ini kerana apabila kita berbincang tentang kenaikan harga barang, kita harus melihat adakah harga itu munasabah atau adakah kenaikan itu tinggi kerana ada isu-isu eksploitasi?.

“Bagi saya, saya langsung tidak melihat adanya isu-isu eksploitasi pada keadaan sekarang ini dibanding 10 atau 15 tahun lalu, tetapi isu (kenaikan) ini lebih endemik dan lebih global,” jelasnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah Negeri Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan sepatutnya perlu lebih peka untuk bertindak lebih awal dalam mengatasi kenaikan harga barang ketika ini.

MOHAMAD YUSRIZAL YUSOFF

Katanya, ini kerana SHMKM itu dilancarkan selepas sebulan rakyat menanggung keluh dan derita apabila terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang.

“Kita tidak dapat menolak bahawa permintaan tinggi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong kenaikan harga barang dan makanan, jadi sepatutnya kerajaan lebih peka akan berlaku kenaikan dan bersedia perkenalkan skim itu lebih awal.

“Ini tidak, sampai rakyat bunyi, pengguna keluh kesah hampir sebulan baru mahu perkenalkan (skim kawalan), jadi kita harap tindakan itu lebih awal.

“Kita harap kementerian bersedia lebih awal keran akita jangkakan permintaan dan harga barang meningkat selepas tamatnya skim itu, ada perayaan Tahun Baru Cina, ada sambutan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri, maka jadual dan selepas ini patut mula disusun,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN