Warga emas sebatang kara kenang nasib bah - Utusan Malaysia

Warga emas sebatang kara kenang nasib bah

Saloma Sinan, 64 melihat kawasan rumahnya yang terjejas akibat banjir di kampung Labohan Dagang, Banting pada 27 Disember 2021. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: “Tiada apa yang tinggal, hanya air mata sahaja,” luah warga emas, Saloma Sinan, 64, berhubung keadaan rumahnya di Kampung Labohan Dagang di sini yang terjejas akibat banjir pada minggu lalu.

Dia yang tidak berkahwin itu tinggal seorang diri di rumah serta menyara hidup dengan wang bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM250 selain wang simpan sewaktu bekerja dahulu.

“Ketika muda dan masih kuat, makcik pernah bekerja kilang di Teluk Panglima Garang dan Bangi sebelum berhenti pada 1999 serta pulang ke kampung di sini.

“Selepas itu, bermacam kerja mak cik buat termasuk sebagai pekerja pembersihan. Malah sewaktu masih larat, makcik mengambil upah melipat plastik dan bekerja di kilang rempah ratus,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Saloma berkata, disebabkan tidak boleh duduk terlalu lama, dia tidak berupaya untuk mengambil upah bagi kedua-dua pekerjaan sambilan tersebut sekali gus hanya mengharapkan bantuan JKM serta wang simpanannya.

Katanya, dia ada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi sudah habis digunakan termasuk menunaikan umrah selain sedikit wang simpanan di Lembaga Tabung Haji yang hanya digunakan ketika terdesak.

“Ia tidaklah banyak mana, tak sampai RM10,000 pun namun makcik bersyukur atas pemberian rezeki Allah SWT. Apabila berlaku banjir begini, tidak ada benda yang tinggal lagi.

“Kalau nak buat pinjaman nak betulkan rumah, makcik mana ada duit nak bayar balik. Dengan keadaan selepas banjir ini, makan pun kadangkala hanya roti dan biskut ketika ini kerana tidak boleh masak,” katanya yang turut mengidap penyakit gastrik.

Dalam pada itu, dia bersyukur dipanjangkan usia terselamat daripada banjir tersebut biarpun tiada barangan yang boleh tinggal.
“Motosikal makcik tenggelam air dan tak boleh nak pergi mana-mana kerana tiada kenderaan. Dua almari baju habis rosak kena air, almari pinggan pun rosak dan hanya katil dapat diselamatkan tetapi tilam juga rosak.

“Alhamdulillah, ada bantuan melimpah ruah dari segi makanan, wang, toto dan makcik pun ada terima dapur masak. Apa pun makcik reda dan terima ujian Allah SWT ini,” katanya sebak.

Sewaktu ketibaan wartawan dan jurugambar di rumahnya, Saloma dilihat sedang mencari sesuatu di timbunan barangan dan pakaiannya yang tidak boleh digunakan.

“Makcik nak tengok kalau ada duit di poket baju sebab pernah letak sebelum ini sebanyak RM50. Jika ada rezeki jumpa, bolehlah digunakan wang tersebut.

“Baju-baju ini tidak boleh digunakan lagi, nak basuh semula memang tak larat sebab mesin basuh dah rosak. Kalau pakai tangan, memang makcik tak mampu buat,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN