Skim harga dilancar - Utusan Malaysia

Skim harga dilancar

Kerajaan melancarkan skim harga mulai semalam bagi mengawal kenaikan harga barang yang menjadi rungutan pengguna sejak akhir-akhir ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Kerajaan melaksanakan skim harga berkuatkuasa semalam sehingga 31 Disember ini sebagai langkah drastik mengatasi isu kenaikan dan menstabilkan harga barangan keperluan asas pada masa ini.

Skim harga baharu tersebut meliputi 12 jenis barangan keperluan asas berkuat kuasa di peringkat ladang sehinggalah ke pemborong yang tertakluk dengan rantaian pembekalan.

Pengarah Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, kegagalan mematuhi skim tersebut boleh menyebabkan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dikenakan tindakan tegas.

Katanya, skim harga berkenaan dilancarkan untuk mengatasi isu-isu kenaikan harga barangan dan pihak kementerian telah memilih 12 jenis barangan untuk dikuatkuasakan antaranya barangan basah seperti ayam, telur ayam dan sayur-sayuran terpilih.

“Senarai barang yang telah dipilih adalah pilihan barangan ramai bagi golongan B40 dan M40 dan juga berpotensi untuk naik lagi harganya, jika tiada pemantauan dari kerajaan.

“ Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) ini sebagai langkah menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran,” katanya.

Beliau sebelum itu melakukan tinjauan harga di pasar Taman Sri Gombak, di sini yang turut disertai Timbalan Pengarah Operasi KPDNHEP Selangor, Shamsul Nizam Khalil, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah dan Ketua Penguatkuasa Negeri Selangor Aminuddin Muhammad.

Melalui skim harga baharu itu, tiga kategori ayam, iaitu ayam hidup berharga RM6.20 di ladang dan RM6.70 harga borong. Harga ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagian) RM8.00 di pasar borong dan RM9.30 di pasar runcit. Sementara itu, harga ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) di pasar borong berharga RM9.30 dan RM10.30 di pasar runcit.

Harga barangan sebiji telur yang terdiri dari telur ayam gred A, harga ladang RM0.40 sen, harga borong RM0.42 sen dan harga runcit RM0.44 sen.

Telur Gred B pula, harga ladang adalah RM0.38 sen, harga borong RM0.40 sen dan harga runcit RM0.42 sen. Manakala, Telur Gred C pula harga ladang adalah RM0.36 sen, harga borong RM0.38 sen dan harga runcit RM0.40 sen.

“Harga sayur-sayuran pula, bagi sekilo Kacang panjang bernilai RM6.00 di pasar borong dan RM7.00 di pasar runcit. Harga Cili Merah sekilo adalah RM15.00 di pasar borong dan RM17.00 di pasar runcit.

“Harga Tomato bernilai RM4.50 sekilo di pasar borong dan RM5.50 sekilo di pasar runcit. Sekilo Sawi Hijau pula berharga RM6.00 di pasar borong dan RM7.00 di pasar runcit.

“Manakala harga Timun dan Kubis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) di pasar borong berharga RM3.50 sekilo dan RM4.50 sekilo di pasar runcit,” ujarnya.

Tegas beliau, kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh menyebabkan individu itu dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, manakala syarikat didenda sehingga RM500,000 atau kompaun RM250,000.

Jelasnya, senarai barang yang telah dipilih adalah pilihan barangan ramai bagi golongan B40 dan M40 dan juga berpotensi untuk naik lagi harganya, jika tiada pemantauan dari kerajaan.

“Dari tinjauan hari ini, kami dapati maklumat dari peniaga-peniaga, harga telah turun, dari peringkat pembekal juga telah turun. Ini membolehkan peniaga-peniaga menjual barangan tersebut dengan harga kita tetapkan.

“Skim ini dilaksanakan atas semua peringkat. Berkuatkuasanya di peringkat ladang dan di peringkat pemborong perlu mengikut skim ini, jadi semua pihak dalam rantaian pembekalan tertakluk dalam skim harga ini, ” ujarnya

Tambahan Azman, beliau menggalakkan rakyat, pengguna dan peniaga membuat aduan kepada KPDNHEP agar boleh membantu dan menyiasat isu tersebut secepat mungkin, juga sertakan sekali maklumat yang tepat bersama aduan tersebut.

“Maklumat seperti, di mana lokasi tersebut, barangan yang diadu, tarikh pembelian, lebih elok sekalikan dengan resit pembelian tersebut.

Dengan aduan serta maklumat yang tepat dan lengkap, membolehkan pegawai KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dengan segera.

“Ini bukan terhad kepada harga barangan sahaja, bahkan harga-harga yang jarang mendengar kenaikan harga KPDNHEP akan menyiasat juga. Itulah kami memerlukan aduan yang tepat dan lengkap dari pengguna-pengguna kita,” katanya.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, seluruh negara menyaksikan peningkatan harga barangan keperluan harian, peralatan binaan, input pertanian dan makanan daripada sekecil-kecil sebiji burger sehingga kabel pendawaian elektrik yang memberi kesan kepada pelbagai pihak di peringkat pembekal, kontraktor, peniaga serta pengguna. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN