PETALING JAYA: Beberapa projek tebatan banjir di Selangor dilihat dilaksanakan sekadar ‘asal siap dan asal ada’ menjadi antara punca banjir kilat sering berlaku di negeri itu.
Walhal projek tebatan banjir amat penting bagi melencongkan kadar lebihan air hujan yang berterusan terutamanya di kawasan yang pesat membangun atau kawasan tepu bina pada istilah geografi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Hidrogeomorfologi Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Frankie Marcus Ata berkata, projek-projek tebatan yang ada dilihat tidak mengambil serius dari segi pengiraan asas yang sebenar sehingga menimbulkan banjir kilat di kawasan membangun itu.
Menurut beliau, kesilapan-kesilapan teknikal terutamanya di peringkat perancangan bandar membabitkan projek tebatan boleh menyebabkan bencana banjir yang tidak berkesudahan.
“Jika ada pihak yang masih menyalahkan alam berikutan banjir kilat di Kajang misalnya, maka itu sudah silap kerana kepesatan pembangunan itu menyebabkan kawasan hijau digantikan dengan kawasan berturap atau kawasan tepu bina yang mana kawasan itu tidak telap air dari permukaan tanah.
“Jadi kurangnya resapan (air hujan) itu menyebabkan peningkatan kepada larian air di permukaan menyebabkan air terus mengalir kepada sistem saliran yang ada dan itu menjadikan kawasan pesat boleh dilanda banjir kilat.
“Walaupun projek-projek tebatan banjir itu ada, tetapi diambil mudah atau sambil lewa, maka ia boleh menyebabkan malapetaka (banjir) terus berlaku,” kata beliau ketika dihubungi.
Kata Frankie, kerajaan Selangor perlu mengambil inisiatif membuat kolam takungan terutamanya di bandar-bandar besar lain untuk melencongkan air supaya tidak tertumpu kepada satu-satu kawasan apabila berlaku hujan lebat.
Selain itu, pensyarah itu memberitahu, Selangor boleh mencontohi Kuala Lumpur yang serius dalam mengatasi masalah banjir dengan membina projek tebatan air iaitu Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Terowong SMART).
“Terowong SMART adalah kolam takungan air yang berfungsi untuk melencongkan air hujan yang berlebihan pada satu-satu ketika,” katanya.
Banjir luar biasa di Selangor terutama di Hulu Langat dan Taman Sri Muda di Shah Alam pada 17 Disember lalu patut dijadikan iktibar apabila mengejutkan seluruh rakyat negara ini.
Malah hujan lebat lebih sejam petang kelmarin menyebabkan beberapa kawasan di Bandar Kajang termasuk Bandar Sungai Long dan Taman Lembah Mewah Kajang dilanda banjir kilat.
Kejadian dalam tempoh seminggu itu mencetuskan lagi kegusaran dan pertikaian orang ramai yang masih trauma dengan pengalaman kediaman dan harta benda rosak sekelip mata..
Mengulas lanjut, kata Frankie, sistem saliran terutama di bandar juga memainkan peranan penting dalam mengelakkan sesuatu kawasan itu dilanda banjir kilat.
Katanya, jika pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengambil serius sistem saliran di setiap lokasi di bandar, perkara itu boleh menjadi punca kepada mudahnya kejadian banjir kilat itu berlaku.
“Perubahan struktur sungai turut mempengaruhi keadaan banjir kilat apabila sifat semula jadi sungai sudah berubah. Apa yang kita lihat di Kajang ialah perubahan pembangunan, tetapi dalam masa sama merubah bentuk sungai itu, yang bengkok diluruskan dengan beranggapan air cepat turun.
“Namun hakikatnya itu satu keputusan yang salah kerana memberi kesan kepada kadar aliran air itu kerana keadaan sungai yang secara semula jadi berliku, jadi air itu mengambil masa untuk mengalir ke bahagian pertengahan dan seterusnya kebahagian hilir dalam keadaan berliku,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur (ESERI), Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof. Madya Dr. Mohd Khairul Amri Kamarudin berkata, pihaknya tidak menolak penyelenggaraan sistem saliran yang lemah terutamanya melibatkan aspek penyelenggaraan pada sistem aliran sungai.
Katanya, ini kerana semua pihak mengetahui bahawa punca utama banjir kilat adalah disebabkan oleh hujan lebat berterusan dan sistem saliran yang lemah berbanding banjir monsun.
“Contohnya, pembinaan projek tebatan banjir yang ada sebelum ini mungkin pada skala banjir 50 tahun (lepas). Namun dengan mengambil kira kesan keadaan perubahan iklim, penyelenggaraan sungai, aktiviti manusia di kawasan sekitar dan kelemahan lain menyebabkan kemampuan sungai untuk menampung air sudah berbeza berbanding sebelum ini.
“Dengan kerja-kerja penyelenggaraan dari segi kedalaman dan kelebaran yang kurang dijalankan serta sampah-sarap akibat aktiviti manusia, maka itu semua memainkan peranan,” jelasnya.- UTUSAN










