Pesara tentera maut dipukul anak lelaki - Utusan Malaysia

Pesara tentera maut dipukul anak lelaki

WAN KAMARUL AZRAN WAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Seorang pesara tentera berusia 73 tahun maut selepas dipukul dan dicederakan oleh anak lelakinya yang juga pesakit mental dalam kejadian pada Rabu lalu.

Dalam kejadian di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil itu, suspek berusia 48 tahun dikatakan turut memijak kepala dan muka mangsa selain mencederakannya dengan pisau pemotong kek.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan mendapati, suspek dikatakan hilang kawalan sebelum mengamuk dan memukul mangsa.

Beliau berkata, suspek dikatakan sudah lama tidak mengambil ubat penenang menyebabkan tingkah lakunya sukar dikawal sehinggalah bertindak mencederakan mangsa.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah terutama di bahagian muka termasuk kesan luka akibat torehan pisau di beberapa bahagian badan.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dipercayai dipijak bertubi-tubi oleh suspek. Mangsa juga cedera di bahagian dada dan kedua-dua belah tangan.

“Laporan bedah siasat mendapati, mangsa maut akibat kecederaan parah di muka dan retak di bahagian tengkorak,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Roda di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang juga menghidap penyakit anemia dan sawan itu dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Wan Kamarul Azran berkata, ketika ditahan, suspek dalam keadaan mengamuk dan sukar dikawal selain turut memegang pisau pemotong kek.

Menurutnya, suspek ditahan pada hari sama dan tempoh remannya bakal berakhir esok.

“Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.

“Suspek juga didapati sudah lama tidak mengambil ubat penenang yang dibekalkan pihak klinik psikiatri Hospital Banting kepadanya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya