Mohon notis merah Interpol 2 hingga 3 minggu - Utusan Malaysia

Mohon notis merah Interpol 2 hingga 3 minggu

Empat nama rakyat Malaysia yang tersenarai dalam notis merah Interpol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses permohonan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap mana-mana individu dikehendaki oleh sesebuah negara kebiasaannya hanya memerlukan tempoh antara dua hingga tiga minggu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kebiasaannya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan notis itu kepada Interpol dengan mengemukakan alasan dan bukti permohonan untuk berbuat demikian.

Menurut beliau, Interpol kemudian akan meminta maklumat tambahan sekiranya alasan dikemukakan kurang mencukupi untuk mengeluarkan notis merah tersebut.

“Kebiasaannya proses ini memakan masa antara dua hingga tiga minggu, jika tiada masalah. Kalau lengkap permohonan selalunya prosesnya tidak lama, kemudian notis merah dikeluarkan.

“Kalau tidak lengkap, barulah Interpol minta PDRM membekalkan maklumat tambahan untuk melengkapkan permohonan notis tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan kelmarin memaklumkan nama dua ahli perniagaan dalam buruan iaitu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dan Low Taek Jho atau Jho Low belum dipaparkan dalam sistem Interpol.

Menurut beliau, PDRM telah memohon memasukkan nama kedua-dua ahli perniagaan itu ke dalam notis merah.

Jelas Acryl Sani, terdapat dua kategori notis merah dikeluarkan Interpol iaitu kategori makluman awam manakala satu lagi dihadkan kepada agensi penguat kuasa sahaja dengan nama kedua-dua individu itu untuk kategori kedua.

Tidak sampai, 24 jam mengeluarkan kenyataan tersebut, semalam Acryl Sani mengesahkan PDRM sudah memperoleh notis merah ke atas Jho Low yang diburu kerana skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala Nicky dikaitkan dengan rangkaian jenayah di negara ini.

Acryl memberitahu notis merah ke atas Jho Low dikeluarkan pada 11 Jun 2018 manakala notis bagi Nicky pada 20 April tahun ini.

Mengikut carian di Interpol semalam, empat rakyat Malaysia yang boleh dilihat berada dalam senarai notis merah ialah Koh Ing Kueh, 46, mar Sirul Azhar, 50, Tan Lok Seng, 53, dan Loo Soon Aik, 41.

Namun, nama dan gambar Jho Low serta Nicky tidak ditemui kerana mungkin dikatogeri dalam notis merah makluman penguat kuasa sahaja.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN