Melayu, bumiputera tidak lagi terikat sokong satu parti - Utusan Malaysia

Melayu, bumiputera tidak lagi terikat sokong satu parti

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan, rakyat terutamanya orang Melayu dan bumiputera tidak lagi terikat untuk menyokong sesebuah parti politik berdasarkan jenama parti semata-mata. 

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasiin Beliau berkata, ini kerana tiada lagi kesetiaan membuta tuli terhadap sesebuah parti, sebaliknya kesetiaan dan sokongan kepada parti politik bergantung kepada sejauh mana parti itu dapat memenuhi aspirasi mereka. 

Menurut beliau, pembangunan dikecapi rakyat telah melahirkan sebuah masyarakat yang semakin berpendidikan dan berpengetahuan. 

“Dalam era ini, masyarakat lebih berfikiran terbuka dan mengharapkan kerajaan lebih telus dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat. 

“Soal integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban amat dititik berat oleh masyarakat, maka pemimpin kerajaan tidak lagi boleh menyembunyikan sebarang maklumat penting mengenai dasar atau perancangan kerajaan. 

“Justeru, integriti dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan amat penting kepada masyarakat Melayu dan bumiputera hari ini kerana mereka bukan jenis yang berfikir tak mengapalah kalau si polan dan si polan daripada parti itu korup sedikit asalkan apabila parti itu menang pilihanraya dan memerintah, jalan di depan rumah diturap, bekalan air dan elektrik sampai ke dalam rumah. 

“Pemikiran ‘tak mengapa’ ini tiada lagi dalam kamus pemikiran generasi baharu Melayu dan Bumiputera hari ini, kerana itu kita telah saksikan perubahan minda politik orang Melayu terutamanya sikap mereka terhadap parti-parti politik,” katanya dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, hari ini. 

Hadir sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul dan Setiausaha Agung Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Edward Linggu.

Menurut Muhyiddin, kewujudan pengundi yang mengubah sokongan kepada parti politik dalam satu pilihanraya ke pilihanraya yang lain semakin besar. 

Katanya, ini kerana bagi mereka, mengubah sokongan daripada satu parti politik ke satu parti politik yang lain adalah perkara biasa, malah ia sesuatu yang perlu dilakukan berdasarkan penilaian mereka sendiri terhadap kesesuaian sesebuah parti politik untuk menjadi parti pilihan mereka. 

“Ada beberapa aspek utama yang menjadi asas penilaian mereka terhadap parti politik, pertamanya aspek pencapaian atau parti dalam memenuhi keperluan mereka.

“Keduanya ialah aspek khidmat kerana golongan miskin, berpendapatan rendah dan orang kurang upaya mahu melihat sejauh mana sesebuah parti itu mampu menyampaikan bantuan-bantuan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan. 

“Ketiganya ialah aspek nilai yang juga aspek paling penting dalam menentukan samada sesebuah parti politik itu berada di landasan yang betul dalam melaksanakan amanah kepimpinan,” kata beliau. 

Kata beliau, sekiranya perkara-perkara tersebut diperjuangkan oleh parti dan  dilaksanakan dengan baik apabila parti itu membentuk kerajaan, maka parti itu akan mendapat sokongan rakyat yang memperoleh manfaat secara langsung daripada rakyat. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya