Jangan calar imej Kastam - Utusan Malaysia

Jangan calar imej Kastam

ABDUL Latif Abdul Kadir memakaikan pangkat kepada Abdul Wahabi Abdullah dalam majlis penyerahan watikah pelantikan barisan pengurusan tertinggi JKDM baharu di Ibu Pejabat JKDM, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua pegawai dan kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  perlu memperkasakan budaya integriti serta tidak sekali-kali terlibat dalam gejala negatif yang boleh merosakkan reputasi perkhidmatan sekali gus mencalarkan imej jabatan itu. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, semua keluarga JKDM khasnya saf pengurusan baharu dilantik perlu terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang dipikul dengan sebaik mungkin.

“Sebagai sebuah agensi yang signifikan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara, semua warga JKDM perlu komited berkhidmat dalam memperkasa kutipan hasil demi memangkin kemakmuran tanah air.

“Tahun hadapan bakal menghidangkan cabaran lebih getir dan JKDM perlu lebih bersiap siaga dalam mendepani sebarang ketidaktentuan yang mendatang,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam majlis penyerahan watikah pelantikan kepada barisan pengurusan tertinggi dan pengarah baharu yang diadakan secara ringkas di Ibu Pejabat JKDM, di sini hari ini. 

Dalam majlis itu, Datuk Zazuli Johan mengetuai senarai penerima watikah apabila dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) dan Datuk Abdul Wahabi Abdullah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan). 

Selain itu, Datuk Abdullah Jaapar dilantik sebagai Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) dan Datuk Aidid Tajuddin dilantik sebagai Pengarah Bahagian Perkhidmatan Teknik, Ibu Pejabat serta Julaiman Soimin dilantik sebagai Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Sabah); Mohd Nasir Deraman dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Kelantan.

Dua lagi iaitu Ribuan Abdullah dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Perlis dan Norlela Ismail dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Melaka.

Penyerahan watikah pelantikan itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pengurusan), Datuk Mohd Yunus Charlie Charington.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya