KUALA LUMPUR: Golongan remaja dan belia daripada pelbagai latar belakang menyifatkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sebagai sangat bermanfaat terutama dengan adanya pelbagai aktiviti kerjaya dan pendidikan yang dianjurkan.
Kata mereka, bukan sahaja prestasi setiap kementerian dapat dinilai menerusi program yang diadakan tetapi yang lebih penting lagi, mereka dapat meneroka peluang kerjaya sama ada dalam sektor swasta atau kerajaan.
Pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Annur Nairah Katchun, 18, berkata, menerusi aktiviti Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, dia dapat menambah ilmu dan pengetahuan yang diperlukan sebelum menempuh alam pekerjaan.

Dia turut berharap program itu dapat diperluaskan ke negeri-negeri lain serta dijadikan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.
“Saya kini sudah tahu hala tuju dan peluang kerjaya yang boleh saya ceburi apabila tamat pengajian nanti. Selain itu saya juga dapat mempersiapkan diri dengan keperluan penting yang diperlukan oleh mana-mana majikan dalam memilih kakitangan mereka.
“Justeru, saya sangat berharap program sebegini dapat dijadikan sebagai acara tahunan dan diadakan di beberapa negeri lain agar golongan muda seperti saya menerima maklumat secukupnya berkaitan peluang yang boleh diceburi sama ada dalam bidang pendidikan atau kerjaya,” katanya di sini semalam.
Antara aktiviti yang disediakan sepanjang empat hari Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) termasuklah Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, I’m Youth dan perkhidmatan langsung agensi kerajaan di samping kaunter diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Lebih 24,000 peluang kerjaya menanti pencari kerja dalam Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia anjuran Kementerian Sumber Manusia.
Dalam pada itu, pelajar jurusan sumber manusia, Nur Ashila Asim, 18, berkata, dia mendapat banyak pendedahan bukan sahaja berkaitan pelajaran dan kerjaya, tetapi dalam bidang perniagaan dan sukan elektronik (e-Sukan).

“Saya sempat melawat beberapa ruang pameran milik agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Secara tidak langsung saya didedahkan dengan kerjaya yang tidak pernah saya tahu sebelum ini.
“Selain itu, ada banyak aktiviti yang sudah semestinya memberi pelbagai faedah untuk masyarakat dan kita perlu gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengejar impian serta masa depan,” jelasnya.
Bagi peserta program, Imran Mohd. Yazid, 19 berkata, dia melihat acara sebegini sebagai platform kepada semua untuk bertukar pandangan dan maklumat serta menjalin kerjasama dalam pelbagai aspek.

Seorang pencari kerja, Zulfadhli Shamsuddin berkata, sistem pendaftaran yang mudah dan mesra pelanggan memudahkan dia mencari pekerjaan yang sesuai.
Malah, katanya, dia berpeluang menghadiri terus temu duga dan ditawarkan pekerjaan dengan dua syarikat menyebabkan dia perlu memilih yang lebih sesuai dengan dirinya.
Eksekutif Sumber Manusia 7 Eleven Malaysia Sdn. Bhd., Mohamad Izzudin Amin meminta pencari kerja mendaftarkan diri dengan MyFuture Job untuk memudahkan mereka mencari pekerjaan dan majikan memilih calon kakitangan mereka.
Katanya, pihaknya telah menawarkan pekerjaan kepada 19 calon sepanjang Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia diadakan. – UTUSAN