Dua suspek kes tikam warga emas direman seminggu - Utusan Malaysia

Dua suspek kes tikam warga emas direman seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua lelaki direman seminggu bagi membantu siasatan kes kontraktor warga emas yang maut ditikam ketika mahu menunaikan solat Jumaat di Kampung Idaman, Pandamaran di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, perintah reman ke atas kedua-dua suspek berusia 33 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini.

“Tempoh reman ke atas mereka salah seorang daripadanya penggangur dibenarkan selama tujuh hari sehingga 17 Disember ini.

“Siasatan menyeluruh kes itu masih sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, meninggal dunia akibat kecederaan pada anggota badan.

Dalam kejadian pukul 12.35 tengah hari itu, mangsa sedang bersiap untuk pergi menunaikan solat Jumaat di sekitar kawasan berkenaan.

Mangsa kemudian didatangi seorang lelaki yang bertindak menikamnya di badan dengan pisau lalu melarikan diri.

Tambah Hoong Fong, pihaknya masih mengenal pasti motif sebenar kejadian itu.

“Kita akan memaklumkan perkembangan kes berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Kecekapan polis berjaya memberkas dua suspek berkenaan dalam tempoh kurang empat jam di sekitar daerah ini dan Shah Alam.

Penahanan kira-kira pukul 4 petang itu turut menemukan pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.

Rakaman detik pembunuhan lelaki warga emas yang tular di laman sosial itu turut menyentuh emosi orang ramai.

Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa sedih dan pilu kerana insiden itu berlaku ketika mangsa mahu menunaikan ibadah selain melibatkan seorang warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN