DAP selar PBK, Aspirasi mahu 'merdekakan' Sarawak - Utusan Malaysia

DAP selar PBK, Aspirasi mahu ‘merdekakan’ Sarawak

CHONG Chieng Jen, bercakap dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP, di Kuching semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) yang menuntut ‘kemerdekaan Sarawak’ gagal memahami dasar-dasar nasional dan antarabangsa serta aspek tadbir urus negara.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, ‘seruan kemerdekaan’ dari kedua-dua parti itu bukan sahaja kosong malah mengundang bahaya selain tidak menyebut mengenai isu-isu pertahanan negara.

“Dalam video pendek propaganda PBK dan Aspirasi, mereka memetik beberapa negara yang berjaya mencapai kemerdekaan, tetapi, mereka telah meninggalkan bahagian yang negara-negara ini melalui perang saudara selama bertahun-tahun telah menyebabkan ekonomi dan nyawa terkorban,” katanya semasa sidang akhbar di ibu pejabat DAP, di sini hari ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan itu berkata, dalam kes Kosovo yang dipetik secara meluas oleh PBK, tentera Serbia memulakan penindasan apabila Kosovo mengisytihar memulakan gerakan bebas.

Jelasnya, lebih 2,000 orang awam mati dan 400,000 menjadi pelarian pada 1998 hingga 1999 sebelum Pertubuhan Pakatan Atlantik Utara (NATO) masuk campur.

Kata Chieng Jen, hingga hari ini, Kosovo masih bergantung kepada NATO untuk menyediakan benteng pertahanannya terhadap ancaman pencerobohan oleh Serbia malah, China, Brazil, Indonesia, India dan lebih separuh daripada negara-negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mengiktiraf Kosovo sebagai negara.

“PBK dan Aspirasi menyembunyikan fakta perang saudara dan nyawa yang terkorban di negara-negara tersebut, ini sangat tidak bertanggungjawab.

“Saya percaya tidak ramai rakyat Sarawak yang mahu melalui perang saudara dan mempertaruhkan nyawa mereka dan anak-anak mereka,” katanya.

Penyertaan PBK pimpinan Voon Lee Shan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12, Sabtu ini, mencetuskan kontroversi selepas parti itu memperjuang kemerdekaan Sarawak dari Malaysia.

Aspirasi yang dipimpin Lina Soo pula sebelum ini membawa propaganda menggunakan papan iklan memaparkan sebilah gunting tanda simbolik ‘pisahkan Sarawak dari Malaysia’ namun telah diturunkan selepas diarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN