Ceroboh perairan: Nelayan Vietnam didenda RM12.6 juta - Utusan Malaysia

Ceroboh perairan: Nelayan Vietnam didenda RM12.6 juta

NELAYAN Vietnam yang ditahan ekoran menceroboh dan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara - FOTO IHSAN MARITIM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Mahkamah Sesyen Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM12.6 juta ke atas dua tekong bot nelayan Vietnam dan 30 awak-awak selepas mereka didakwa menceroboh dan melakukan penangkapan ikan secara haram di perairan negara.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Datuk Amran Daud berkata, keputusan mahkamah Jumaat lalu satu kejayaan Maritim Malaysia yang berterusan mengekang pencerobohan nelayan asing Vietnam.

Menurut beliau, hukuman itu dijatuhkan  Hakim Siti Aminah Ghazali ke atas dua tekong dan 12 awak-awak mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta membabitkan tekong dan RM600,000 membabitkan awak-awak jika sabit kesalahan.

“Jika gagal membayar denda mereka boleh dipenjara dua hingga tiga bulan,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Kata Amran,  kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada kedudukan kira-kira 36 batu nautika tenggara Kuala Pahang pada 3 Oktober tahun lalu.

“Berdasarkan keterangan, bot yang ditahan merupakan bot pembekal yang tidak daftarkan di negara ini dengan membawa bekalan makanan dan hasil laut dalam perairan negara tanpa kebenaran,” katanya.

Bagi kes kedua, Amran berkata, seorang lagi tekong bot nelayan Vietnam, didenda RM600,000 manakala 18 awak-awak didenda RM300,000 setiap seorang. 

Katanya, bagi kes itu, semua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut seksyen yang sama di hadapan hakim Mohd. Kafli Che Ali.

“Bot tersebut ditahan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada kedudukan kira-kira 29 batu nautika timur laut Pulau Tioman pada 5 Jun lalu sebelum kes diserahkan kepada Maritim Negeri Pahang untuk tangkapan semula.

“Mahkamah turut memerintahkan bot-bot terlibat, bekalan diesel dianggarkan bernilai hampir RM3.5 juta dan hasil laut yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan Malaysia,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.