KUANTAN: Beberapa kawasan di negeri ini, Terengganu dan Kelantan dinaiki air ekoran hujan lebat dengan Pahang mencatat kematian pertama apabila seorang lelaki lemas selepas terjatuh daripada motosikal semasa meredah air di Jalan Pulau Manis berhampiran Kubur Cina Gambang di Gambang dekat sini.
Mayat M. Gunalan, 38, ditemukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 2.37 petang pada jarak 200 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan arus air.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Hilmi Kashfi Mat Zali berkata, balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal EX5 menyeberangi arus air merentas jalan untuk pulang ke rumahnya yang menghala ke jalan Kuantan-Segamat.
“Oleh kerana arus deras, mangsa tidak dapat mengawal keadaan dan bersama-sama motosikalnya telah dihanyutkan sehingga ke dalam kebun kelapa sawit yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, seramai 170 mangsa banjir membabitkan 45 keluarga dipindahkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini sehingga pukul 6 petang semalam.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lima PPS dibuka di daerah Maran, manakala empat di Raub.
Di TERENGGANU: Mangsa banjir bertambah kepada 66 orang apabila bah merebak ke Kemaman.
Situasi berkenaan sudah dijangka susulan amaran hujan sangat lebat berterusan peringkat merah atau bahaya yang dikeluarkan di daerah itu, semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, setakat pukul 6 petang semalam, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dengan masing-masing di Kemaman dan Dungun.
Banjir gelombang pertama di Terengganu berlaku lima hari pada 2 hingga 6 Disember lalu dengan melibatkan seramai 224 mangsa di daerah ini, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.
Di KELANTAN: Daerah Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah mula dilanda banjir ekoran hujan lebat berterusan sejak semalam yang menyebabkan paras air sungai utama melimpah ke kampung-kampung.
InfoBencanaJKM melaporkan, sehingga petang semalam, sembilan PPS dibuka di empat jajahan tersebut bagi menempatkan seramai 570 mangsa daripada 114 keluarga.
Gua Musang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 428 mangsa di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Chiku 7 serta SK Limau Kasturi diikuti Kuala Krai seramai 73 mangsa yang ditempatkan di tiga PPS.
Jeli dan Tanah Merah pula masing-masing satu PPS merekodkan 24 dan lapan mangsa banjir.
Sementara itu, bacaan terkini dipaparkan infobanjir.water.gov.my merekodkan paras air Sungai Golok di Tanah Merah kini mencecah 23.8 meter, melepasi paras bahaya 23.5 meter.
Dua lagi sungai utama pula direkodkan sudah melepasi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Kuala Koh, Gua Musang yang kini mencecah 71.76 meter serta Sungai Kelantan di Kuala Krai 23.50 meter.-UTUSAN










