SHAH ALAM: Sejak beberapa hari lalu, balai polis seperti di Seksyen 6 dan 15 menjadi tumpuan mangsa-mangsa banjir untuk membuat laporan bagi menuntut bantuan kerajaan Selangor dan Pusat.
Tinjauan tengah hari semalam mendapati, orang ramai memenuhi pintu masuk di kedua-dua balai polis tersebut sebelum mereka dibenarkan pergi ke kaunter untuk membuat laporan.
Ada mangsa memberitahu, mereka datang kali ketiga selepas tidak dapat berbuat demikian ekoran terlalu ramai orang yang antaranya membabitkan mangsa dari Taman Sri Muda, Seksyen 25, Seksyen 16 dan Padang Jawa.
Seorang pengadu, M. Ramasamy, 35, berkata, dia sehari sebelum itu datang ke Balai Polis Seksyen 15 pada sebelah petang namun terpaksa balik hampa kerana orang terlalu ramai.
“Hari ini (semalam) datang lagi lebih awal tetapi lepas hampir sejam menunggu saya balik juga kerana banyak urusan lain perlu diselesaikan termasuk kemas rumah,” kata ketika ditemui semalam.
Ceritanya, petang tadi dia datang semula dan lega apabila orang tidak begitu ramai dan membolehkannya dia membuat laporan polis.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan beberapa kawasan di Shah Alam terutama di Taman Sri Muda, Padang Jawa, Bukit Jelutong dan Batu Tiga dilanda banjir susulan hujan lebat lebih dua hari pada 17 Disember lalu.
Dilaporkan sebanyak 4,400 buah rumah di Taman Sri Muda dan ribuan kereta tenggela.
Seorang lagi mangsa, Razif Mat Arbak, 37, berkata, dia meminta polis mewujudkan kios atau pondok bit sementara di kawasan-kawasan terjejas bagi memudahkan mangsa yang belum membuat laporan polis kerana mereka tiada kenderaan.
“Saya yakin ramai lagi yang belum dapat keluar membuat laporan kerana selain sibuk kemas rumah dan urusan kerja, ada juga yang tiada kenderaan sebab kereta rosak kerana banjir.
“Dalam masa sama, mereka juga memerlukan bantuan, tetapi kena ada laporan polis sebagai bukti menjadi mangsa bah,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga terjejas akibat banjir di seluruh negara dan RM10,000 bagi mangsa yang kehilangan ahli keluarga.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula mengumumkan bantuan sama kepada penduduk yang terjejas bagi meringankan beban mereka menghadapi pasca banjir.- UTUSAN











