[VIDEO] Bapa pelakon ‘Kekasih Paksa Rela' mengaku tidak salah ugut guna pistol - Utusan Malaysia

[VIDEO] Bapa pelakon ‘Kekasih Paksa Rela’ mengaku tidak salah ugut guna pistol

HARIZAL Hashim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengugut dengan mengeluarkan sepucuk pistol di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang bapa pelakon wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mengugut dengan mengeluarkan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki pada 2 November lalu.

Tertuduh, Harizal Hashim, 49, yang juga seorang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar  membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

Berdasarkan pertuduhan, Harizal yang merupakan bapa Nynaa iaitu pelakon drama ‘Kekasih Paksa Rela’ didakwa menakutkan Mohamad Nur Usry Mohd. Yusoff, 25, dengan mengeluarkan sepucuk pistol jenis CZP-07.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan U13/25J, Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pada pukul 1.40 pagi pada 2 November lalu.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman menawarkan jaminan RM5,000.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mempertimbangkan khidmat cemerlang selama 25 tahun berkhidmat dengan TUDM bagi mengurangkan jumlah ikat jamin.

Tertuduh turut memohon tempoh untuk perbicaraan akan datang memandangkan buat masa ini dia sedang mengupah peguam bagi menguruskan proses perceraian anak perempuannya secara baik.

Mahkamah menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember untuk sebutan.

Akhbar sebelum ini melaporkan suami kepada pelakon Nynaa iaitu Mohamed Fahmi Ilyas membuat laporan polis berhubung dakwaan yang mengatakan isterinya ‘diculik’ oleh bapa mentuanya, Mejar (B) Harizal Hashim pada malam 1 November lalu.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku ketika di set penggambaran sebuah drama di daerah ini sebelum bapa mentua bertindak ‘menculik’ isterinya untuk tujuan berubat.

Ketika kejadian, ibu dan bapa mentuanya serta abang iparnya dikatakan telah datang ke set penggambaran sebelum ibu mentuanya bertindak menarik isterinya masuk ke dalam kereta serta membawanya pergi.

Lebih mengejutkan lagi apabila bapa mentuanya mengacukan sepucuk pistol ke arah perut pengawal peribadi Nynaa sambil memberi amaran akan melepaskan tembakan jika menghalangnya untuk mengambil pelakon terbabit.

Dalam pada itu, Mohamed Fahmi menyatakan bahawa kali terakhir dia berhubung dengan bapa mentuanya itu pada 3 November lalu namun dia enggan mengulas lebih lanjut mengenai punca bapa mentuanya bertindak sedemikian adalah disebabkan status kewangannya tidak kukuh. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya