Sungai Klang bukan lagi paling kotor di dunia - Utusan Malaysia

Sungai Klang bukan lagi paling kotor di dunia

INTERCEPTOR, The Ocean Cleanup merupakan antara kaedah digunakan untuk memerangkap sampah di Sungai Klang. - Gambar SELANGOR MARITIME GATEWAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 75,000 tan metrik sampah berjaya dikumpulkan dari Sungai Klang oleh Selangor Maritime Gateway (SMG) antara tahun 2016 hingga September lalu sekali gus menjadikan sungai itu bukan lagi antara sungai paling kotor di dunia.

Malah menjelang penghujung 2022, sasaran projek SMG adalah mengurangkan jumlah pengeluaran sampah tahunan sebanyak 40 peratus berbanding jumlah kutipan tahun pertama  beroperasi pada 2016.

SMG dilihat optimis untuk melihat jangkaan pengurangan berada pada kadar 33 peratus menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (syarikat yang diberi mandat untuk menerajui projek SMG), Syaiful Azmen Nordin berkata, berdasarkan jumlah terbabit, 50 peratus daripadanya merupakan sampah organik seperti  tumbuh-tumbuhan termasuk dahan pokok.

Katanya, baki 50 peratus sampah bukan organik iaitu plastik menyumbang 80 peratus daripada sampah bukan organik manakala bakinya adalah bungkusan makanan dan minuman, aluminium, tin, barangan getah, tekstil dan sebagainya.

“Inisiatif mega SMG untuk memulihara kawasan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer (km) dipergiatkan lagi setelah ia memasuki tahun akhir fasa pertama (2016-2022). 

“Keadaan ini  berubah secara drastik dan sudah tiba masanya untuk Sungai Klang dikeluarkan daripada senarai sungai terkotor kerana kebanyakan sampah terapung pun dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan akhbar baru-baru ini.

Beliau menambah, Kerajaan Negeri Selangor menjadikan inisiatif pembersihan sungai ini sebagai keutamaan dan komited ke arah memenuhi sasaran ditetapkan dengan mengambil langkah tambahan menghentikan sisa pepejal dan efluen daripada masuk ke Sungai Klang. 

Justeru, 38 lokasi berpotensi di hilir Sungai Klang dikenal pasti untuk pemasangan atau penaiktarafan perangkap, penyaring sampah atau mini log boom di anak-anak sungai, longkang monsun dan kunci air. 

Ketika ini, kaedah memerangkap sampah sedia ada menggunakan tujuh log boom yang di pasang secara strategik dan dua Interceptor oleh The Ocean Cleanup dengan sasaran untuk mengurangkan lagi kadar pengeluaran kepada 900 metrik tan sampah sebulan menjelang hujung 2022. 

Sementara itu, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Hasrolnizam Shaari berkata, pengurangan sisa pepejal di dalam sungai memberi kesan secara langsung terhadap keseluruhan peningkatan kualiti air.

“LUAS akan membentangkan satu usul bagi mengemaskini Seksyen 44 (1) (b) Enakmen LUAS 1999 yang sedia ada bagi memasukkan garis panduan dan dasar baru bagi mengurangkan impak pencemaran sungai. 

“Selepas menilai beberapa pilihan dan berdasarkan kepada maklum balas daripada pakar-pakar dalam bidang yang berkaitan, kami akan mencadangkan dua inisiatif utama iaitu Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) dan Polluter-Pays Principle (PPP) kepada Kerajaan Negeri Selangor menjelang Jun 2022,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya