BUTTERWORTH: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang menyasarkan mengumpul jualan sehingga RM1 juta secara tunai dan dalam talian sepanjang 12 hari berlangsungnya Karnival Maya Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (PenBVex) bermula 19 November ini.
Pengarahnya, Mohd. Azraie Ramli berkata, karnival itu merupakan lanjutan daripada program Ekspo Usahawan Bumiputera Pulau Pinang yang diadakan secara tahunan sejak 22 tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, untuk tahun ini PenBVex akan diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal di pasar raya Mydin Bukit Mertajam dan secara dalam talian.
Ujar Mohd. Azraie, selain FAMA Pulau Pinang, karnival itu turut mendapat kerjasama Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) serta beberapa jabatan dan agensi negeri lain.
“Seramai 40 usahawan akan menyertai PenBVex secara fizikal manakala 200 lagi usahawan akan mengikutinya secara maya dengan melibatkan pelbagai kluster seperti industri makanan, kraftangan, perkhidmatan, makanan viral, herbal, kosmetik dan pakaian.
“Ini merupakan antara sebahagian daripada usaha kami untuk merancakkan semula ekonomi usahawan pasca Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Hadir sama Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Mariza Abdul Majid@Aziz.
Antara yang dijangka menjadi tarikan utama sepanjang karnival itu termasuk tawaran sehingga 5,000 kupon penghantaran percuma ke seluruh negara serta cabutan bertuah dan e-baucar khususnya kepada pembeli dalam talian.
Pada masa sama, beberapa usahawan selebriti termasuk Chazynash, Wan Raja, Atul Mak Cun dan Ustaz Manis akan turut serta membantu mempromosikan produk-produk usahawan yang mengambil bahagian.
Selain boleh membeli-belah secara terus di Mydin Bukit Mertajam dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, pengunjung juga boleh berbuat demikian menerusi platform Agrobazaar Online, Shopee, Lazada, Food Panda, Penang e-Mall, e-FAMAplace dan MyCraff Shoppe.
Dalam pada itu Mohd. Azraie berkata, pihaknya turut menawarkan lebih 20 kursus dan klinik bisnes secara dalam talian kepada usahawan termasuk aktiviti Pemadanan Perniagaan bersama pasar raya, seminar serta rancangan bual bicara berkaitan sepanjang karnival berkenaan.
“Bagi menyokong jualan secara terus dalam talian, FAMA Pulau Pinang telah mewujudkan Agrohub yang berpusat di Perai untuk pengedaran serta penyediaan tempahan produk-produk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) menerusi platform Shopee,” katanya yang memberitahu, sehingga Oktober lalu sahaja, Agrohub Perai telah merekodkan nilai jualan melebihi RM130,000. -UTUSAN ONLINE










