Saman: Tommy dakwa Najib cuba menakut-nakutkannya - Utusan Malaysia

Saman: Tommy dakwa Najib cuba menakut-nakutkannya

tommy thomas
TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tommy Thomas mendakwa tindakan Datuk Seri Najib menyamannya atas dakwaan beliau  dituduh secara salah bertujuan untuk mengganggu dan menakut-nakutkan dirinya.

Menurut bekas peguam negara atau nama sebenarnya, Thomas Thomas @ Mohan K. Thomas, tindakan bekas Perdana Menteri itu adalah satu usaha untuk membicarakan semula kes jenayah yang dihadapinya dalam prosiding sivil.

“Saya percaya Najib tidak peduli sama ada tindakan samannya mempunyai merit atau tidak kerana saman itu adalah bermaksud untuk menganggu dan menakutkan saya kerana menjalankan tugas saya sebagai peguam negara dan mengunakan budi bicara mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan untuk menuduhnya.

“Dakwaan Najib dalam saman tersebut sepatutnya ditimbulkan sewaktu perbicaraan kes jenayahnya sewaktu pembelaan kerana ia tidak boleh dipertahankan melalui prosiding saman sivil. Saya juga percaya tuntutan saman ini difailkan dengan bermotifkan politik,”katanya dalam afidavit difailkan bagi menyokong permohonannya untuk membatalkan saman Najib.

Kata beliau, saman tersebut  dijadikan bahan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Melaka dan akan turut  digunakan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Pada 22 Oktober lalu, Najib selaku plaintif memfailkan saman terhadap Tommy kerana mendakwa bekas peguam negara itu secara salah menuduhnya di mahkamah dan menuntut ganti rugi hampir RM2 juta.

Tommy dan Kerajaan Malaysia selaku defendan, pada 18 November lalu memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman yang difailkan oleh Najib hanyalah satu `serangan sampingan’ (collateral attack) untuk menghentikan semua perbicaraan dan kes yang dihadapinya.

Berhubung dakwaan Najib bahawa reputasi dan karier politiknya terjejas selepas didakwa di mahkamah, Tommy menyatakan, reputasi bekas Presiden UMNO itu telah lama dikecam sejak sebelum beliau dilantik sebagai peguam negara.

“Reputasinya lebih terjejas apabila disabitkan dengan kesalahan membabitkan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn. Bhd. Reputasi buruknya juga telah tersebar meluaskan apabila pada tahun 2017, Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) telah menamakan Najib sebagai Malaysia Official 1 dalam tuntutan pelucutan hak berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),”katanya.

Selain itu, Tommy menafikan beliau pernah membuat sebarang kenyataan berbentuk subjudis terhadap Najib sepanjang perbicaraan terhadap suami Datin Seri Rosmah MAnsor itu berjalan.

Menurut semakan sistem mahkamah, kes saman Najib terhadap Tommy ditetapkan untuk pengurusan kes pada 19 Januari 2022.

Menurut pernyataan tuntutan, Najib mendakwa Tommy telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) serta cuai ketika menjadi Peguam Negara.

Selain itu, bekas peguam negara itu didakwa menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan Najib dan 35 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya; kecuali pertuduhan membabitkan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd., merupakan sesuatu yang telah lama dirancang oleh Tommy.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya