REMBAU: Sebuah rumah sewa yang menjadi tempat berlindung sembilan sekeluarga sejak 10 tahun lalu di Batu 2.5, Jalan Tampin-Seremban di sini musnah terbakar dalam kejadian pukul 1.10 tengah hari tadi.
Mangsa, Nurin Amani Zainuddin, 23, rumah yang disewanya bersama keluarga itu terletak kira-kira 100 meter dari gerai makan yang diusahakan keluarga mentuanya, Basri Lisut, 66.
Menurutnya, ketika kejadian tiada siapa di rumah itu kerana semuanya sudah keluar untuk makan tengah hari.
“Dalam kejadian ini, tiada apa yang sempat diselamatkan dan mujurlah kereta Proton Wira milik ibu mentua tidak terbakar serta sempat diselamatkan. Rumah ini hanya jadi tempat kami tidur sahaja sebab bila makan, kami akan masak di gerai makan.
“Apa yang menyedihkan kami, baju sekolah dua anak saudara yang masih sekolah di tingkatan tiga serta kelengkapan musnah terbakar. Barang kemas kakak ipar yang disimpan sedikit demi sedikit hasil meniaga makanan untuk kegunaan kecemasan juga lebur dalam kebakaran ini,” katanya ketika di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Arif Ahmad Osasi berkata, pasukannya yang bertindak sebagai balai bantuan bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 1.12 petang.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin yang terletak lebih hampir dengan lokasi tiba terlebih dahulu pada pukul 1.23 petang.
“Masa sampai struktur hadapan bangunan sudah runtuh dan kediaman yang dianggarkan berkeluasan 20×40 kaki persegi musnah terbakar.
“Punca dan jumlah kerugian akan disiasat oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Melaka, susulan lokasi kebakaran terletak di kawasan bersempadanan dan berada di bawah pentadbiran Alor Gajah,” katanya. – UTUSAN










