RM500 bantuan kepada anak yatim akibat Covid-19 - Utusan Malaysia

RM500 bantuan kepada anak yatim akibat Covid-19

AMIRUDIN Shari menunjukkan usul Belanjawan Selangor 2022 yang bertemakan ‘Kita Selangor: Negeri Tahan Uji Mengangkat Martabat Insani’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebelum membentangkannya dalam sidang DUN di Shah Alam, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seramai 2,500 anak yatim yang kehilangan ibu bapa akibat jangkitan wabak Covid-19 di negeri ini akan menerima bantuan Kerajaan Negeri Selangor  RM500 setiap orang.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari  memaklumkan, bantuan itu diberikan melalui Bantuan Anak Yatim Covid-19 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.25 juta daripada Belanjawan Selangor 2022.

“Kerajaan Negeri prihatin dengan golongan anak-anak Selangor ini dan akan memberikan sumbangan kewangan kepada anak yatim di negeri ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut beliau, selain perbelanjaan keperluan, bantuan itu juga diharap dapat memudahkan pengurusan harta pusaka, penjagaan anak-anak serta kesihatan mental melalui beberapa agensi bertanggungjawab. 

Dalam pada itu, Amirudin turut memperkenalkan skim baharu Iltizam Anak Selangor yang akan memberi manfaat kepada bayi baru  lahir di negeri ini seperti pembukaan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

Selain itu, katanya, skim khas turut diberikan kepada 402,000 warga emas yang mendaftar sebagai ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) menerusi Iltizam Sayang Usia Emas.

“Warga emas yang mendaftar akan mendapat manfaat baucar beli-belah RM100 pada bulan kelahiran dan juga khairat kematian bernilai RM500,” ujarnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN