PRN Sarawak: Pembangkang tetap ada peluang - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: Pembangkang tetap ada peluang

ABANG Johari Tun Abang Openg menunjukkan kenyataan akhbar dalam sidang akhbar khas di Bangunan Wisma Bapa Malaysia, Kuching, Sarawak. - UTUSAN/HERRY NAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Parti-parti politik seperti Parti Sarawak Bersatu (PSB), DAP dan PKR masih mempunyai peluang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekiranya menggunakan strategi sesuai dan mengetahui sentimen semasa setempat.

Pengalisis politik dari Universiti Malaya, Prof. Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, PSB cuba bertapak di kawasan terpilih namun masih lagi mencuba menarik pengaruh di kawasan luar bandar.

Kata beliau, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula dijangka mempertahan kedudukan mereka di 72 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenanginya semasa PRN Ke-11.

“Jika guna strategi sesuai dan mengetahui sentimen semasa setempat, peluang parti bertanding tetap ada,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, parti-parti politik dan calon bertanding mahu tak mahu perlu bersedia berkempen secara maya jika itu arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Namun, tambah beliau, perlu juga ada ruang bagi kempen secara bersemuka dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat, selain perlu ada kombinasi kempen secara maya diperluas manakala kempen terbuka dibataskan.

“Inilah norma baharu yang perlu mereka tempuh ketika wabak covid masih jadi ancaman negara dan dunia,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dalam sidang akhbar khas di sini memberitahu, DUN Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November lalu.

Sementara itu Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (PBB), Miro Simuh berkata, corak dan cara berkempen dalam pilihan raya terpulang kepada kehendak parti.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serumbu berkata, dalam proses demokrasi,semua parti mempunyai hak yang sama rata dalam mendapatkan sokongan pengundi, baik parti kerajaan mahupun pembangkang.

Bagaimanapun, katanya tidak dapat dinafikan kepentingan media sosial dalam mendapatkan sokongan pengundi, jadi sesiapa sahaja atau mana-mana parti sekalipun pasti menggunakan platform itu sebagai medium utama kempen mereka.

“Apa yang jelas, kami di GPS sudah bersedia, bahkan sebaik sahaja kami dipilih sebagai wakil rakyat, kami sudah berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN