PRN Melaka: Banjir, kesesakan trafik, internet manifesto PN - Utusan Malaysia

PRN Melaka: Banjir, kesesakan trafik, internet manifesto PN

Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan dokumen Ikrar PN pada PRN Melaka selepas majlis pelancarannya di Ballroom Glenmarie Hotel & Golf Resort di sini, hari ini. - UTUSAN / FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Gabungan parti Perikatan Nasional (PN) dalam manifestonya berikrar mahu memperbaiki kemudahan infrastruktur termasuk menyelesaikan masalah banjir  di negeri itu seperti membaiki saliran air dan menaik taraf tapak tebatan bencana tersebut.

Perkara itu terkandung dalam manifesto PN pada  Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menerusi tunjang kecekapan infrastruktur bagi menyelesaikan masalah seperti banjir, kesesakan trafik, bekalan air bersih dan kemudahan akses internet.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pelancaran Ikrar PN mendakwa masalah berkenaan gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri terdahulu menyebabkan rakyat terpaksa mengharunginya tanpa mengetahui bila penyelesaian akan dilakukan.

“Menyelami keperitan yang perlu dilalui oleh rakyat Melaka, PN berikrar akan memperkukuhkan penyediaan infrastruktur yang cekap termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta sistem saliran dan tebatan banjir.

“Pelan induk penyuraian trafik juga akan disediakan bagi melancarkan lalu lintas terutama di kawasan tumpuan pelancong,” kata beliau ketika berucap pada  Majlis Pelancaran Ikrar PN PRN Melaka  di sini hari ini.

Menerusi manifesto ditawarkan itu, PN menggariskan enam tunjang utama dan 11 strategi berlandaskan 74 pendekatan sekiranya gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya 20 November ini.

Tunjang tersebut adalah ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kerancakan sektor pelancongan, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur dan keteguhan serta kejujuran pentadbiran dengan motto ‘Melaka Bangkit Gemilang’.

Selain kemudahan infrastruktur berkenaan, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berikrar dalam tunjang sama, kesemua calon PN dalam PRN Melaka akan memastikan kemudahan akses kepada internet akan diperkasakan.

“Sejajar dengan keperluan akses internet sepanjang masa, perluasan liputan 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di tempat terpilih seperti di pusat-pusat pelancongan, perniagaan dan pendidikan.

“Kemudahan ini pastinya akan memberikan manfaat kepada setiap pelosok di negeri Melaka,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya