PRN Melaka: 11,557 mengundi awal esok - Utusan Malaysia

PRN Melaka: 11,557 mengundi awal esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 11,557 pengundi akan mengundi awal esok di 31 Pusat Mengundi Awal  bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, bagi tujuan itu, Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai pukul 8 pagi. 

Menurut beliau, jumlah pengundi awal itu terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis. 

“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada Garis Panduan  Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara yang berkuat kuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka, penggunaan anitasi tangan, saringan suhu badan dan  merekodkan kehadiran akan dilaksanakan. 

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding. Selain itu, SPR akan menyiarkan proses  pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ikmalrudin, kesemua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis. 

Katanya, kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada  20 November nanti, bermula pukul 4 petang. 

“Pengiraan kertas undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR  dan urusan pengiraan undi akan disaksikan ejen-ejen calon  masing-masing,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN