PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan kepentingan kesalinghubungan digital yang kini menjadi keperluan asas bagi segenap lapisan masyarakat.
Malah, ketika mempengerusikan mesyuarat keempat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), beliau menekankan ekosistem yang mampan dan menyeluruh.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai merujuk perutusan pembukaan mesyuarat itu melalui sidang video hari ini.
“Kedua-dua sifat tersebut juga adalah penting bagi merancakkan Ekonomi Digital yang boleh memperkasakan dan meningkatkan tarah hidup rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Justeru, mesyuarat itu turut mengambil maklum kemajuan inisiatif di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Dasar 4IR Negara dilakukan pelbagai kementerian.
Pembangunan prasarana digital ujarnya, juga adalah salah satu asas penting dalam usaha negara untuk segera mencapai matlamat Keluarga Malaysia yang makmur dan mampan.
Sehubungan itu, Ismail Sabri jelas Mustapa, telah memutuskan bahawa pencapaian inisiatif MyDigital bakal dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap menteri dan ketua jabatan sejajar pembentangan Bajet 2022 dengan memberi fokus kepada 3M iaitu memulih kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan.
“Semua kementerian juga perlu meneruskan usaha sedia ada dan mencadangkan projek sokongan usaha 3M yang dapat menghidupkan kembali sektor terkesan Covid-19,” katanya.
Mesyuarat itu turut memutuskan Koridor Raya Multimedia (MSC) 2.0 diperkenalkan dengan penjenamaan baharu yang ditambah baik sejajar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) susulan kejayaan MSC dilaksanakan 25 tahun dahulu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan meraih nilai pelaburan RM384 bilion dan pendapatan RM588 bilion.
MSC versi pertama itu jelasnya, berjaya mewujudkan sejumlah 184,030 pekerja berkemahiran tinggi selain mencipta 72 bandar siber dan 22 hab digital Malaysia (MDH) di seluruh negara.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Cradle Fund Sdn. Bhd. akan menyelaras Peta Laluan Ekosistem Pemula Modal Malaysia (Super) 2021-2030 melalui wadah MyStartup dalam misi meletakkan Malaysia antara senarai 20 teratas di peringkat global menjelang 2030 termasuk melahirkan syarikat tempatan bertaraf unicorn.
Turut disentuh mesyuarat itu ialah pelaksanaan agresif rangkaian generasi kelima (5G) di seluruh Malaysia dengan sasaran liputan 80 peratus kawasan berpenduduk pada akhir 2024 selari aspirasi negara memastikan sembilan juta premis ada akses gentian optik internet berkelajuan 100 Megabit persaat di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) juga akan disokong selaras Bajet 2022 termasuk dengan bantuan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meliputi 600 pusat ekonomi digital Keluarga Malaysia yang dijadikan sebagai pusat sehenti untuk mendorong usahawan beralih kepada pendigitalan bisnes tanpa sempadan.
“Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021 bakal dilancarkan Ismail Sabri minggu depan di Bera, Pahang sebagai perintis dengan kerjasama pelbagai pihak,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










