PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Berhad dan Maldives Ports Limited (MPL) memeterai perjanjian kerjasama strategik untuk mewujudkan hubungan pelabuhan berkembar yang bertujuan menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan perniagaan, inisiatif halal, latihan, pertukaran sementara kakitangan dan penyelenggaraan peralatan.
Menurut Northport, melalui perjanjian tersebut, kedua-dua pihak menjalin komitmen untuk bekerjasama dalam memudahkan perdagangan antara kedua-dua pelabuhan, terutamanya dalam mempromosikan perdagangan halal bagi menampung permintaan produk halal yang semakin meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, perjanjian tersebut mewujudkan peluang untuk kedua-dua pelabuhan meningkatkan jumlah kargo.
Selain itu, kata beliau, ia juga membolehkan Pelabuhan Klang dan Maldives menjadi pintu masuk untuk perdagangan antara kedua-dua benua.
“Situasi pandemik pada hari ini bukan sahaja mengubah cara dunia bekerja dan telah mencipta norma baharu yang perlu kita ikuti, malahan mewujudkan kemungkinan dan peluang untuk kita berkembang lebih maju.
“Saya berbesar hati kerana hari ini, kita memperoleh rakan kongsi yang boleh kita bekerjasama secara strategik untuk perkembangan masa depan kedua-dua pelabuhan dan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Azman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif MPL, Shahid Ali dalam satu majlis yang diadakan secara maya kelmarin.
Shahid mengulas, perjanjian tersebut telah meletakkan Northport dan MPL dalam landasan yang betul.
“Kerjasama dalam bidang yang sama, pemindahan pengetahuan merentasi persekitaran dan budaya perniagaan masing-masing diharap memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada organisasi kami,” katanya.
MPL merupakan syarikat milik penuh kerajaan Maldives yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat Maldives pada 31 Julai 2008.
Syarikat itu mengendalikan Pelabuhan Male yang terdiri daripada pelabuhan dalam yang digunakan oleh kapal riadah, industri perikanan dan perdagangan pantai serta pelabuhan luar bagi memenuhi keperluan kapal yang lebih besar. – UTUSAN










