KUALA LUMPUR : Setakat 29 Ogos 2020 hingga 12 Oktober lalu, seramai 46,550 banduan di seluruh negara disahkan positif Covid-19.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, jumlah itu tidak termasuk sembilan kes membabitkan bayi kepada banduan wanita.
“Selain itu, jumlah semasa banduan yang disahkan positif Covid-19 pada 13 Oktober 2021 menurun kepada 60 orang (0.001 peratus).
“Sehingga 30 Oktober lalu, seramai 237,660 banduan sudah menjalani saringan Covid-19,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), yang bertanya mengenai jumlah kes Covid-19 dan kematian akibat Covid-19 dalam penjara Malaysia.
Dalam masa yang sama, Jonathan turut memaklumkan, daripada keseluruhan kes positif itu juga, seramai 559 banduan (1.3 peratus) dikategorikan sebagai kes masih aktif, manakala 45,848 banduan (98.5 peratus) sudah sembuh dan 103 banduan (0.2 peratus) meninggal dunia akibat virus itu.