MB Selangor digesa batalkan pembukaan semula kilang bateri

MB Selangor digesa batalkan pembukaan semula kilang bateri

MOHD. Nazri Afrizal (tiga dari kiri) bersama penduduk Kampung Jenjarom mengangkat sepanduk membantah pembukaan semula kilang buat bateri berdekatan kediaman mereka di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor, hari ini. - FOTO/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari digesa membatalkan pembukaan semula kilang pemasangan bateri di Kampung Jenjarom, Kuala Langat berikutan terdapat kebimbangan pencemaran plumbum di kawasan berkenaan.

Gesaan itu dibuat ketika lebih 10 orang mewakili penduduk kampung berkenaan membuat perhimpunan aman di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar di sini hari ini selepas beberapa siri bantahan dan pertemuan dengan pihak berkuasa sebelum ini belum menunjukkan hasil.

Menurut Pengerusi Badan Bertindak Isu Pencemaran Plumbum Kampung Jenjarom, Mohd. Nazri Afrizal, bantahan pernah dibuat pada September lalu, namun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dilapor memberikan kelulusan untuk kilang berkenaan beroperasi semula.

“Menteri Besar digesa segera membatalkan pembukaan semula kilang berkenaan kerana pernah menyebabkan pencemaran plumbum ketika dibuka pada 2017, susulan itu pada 2019 MMKN membatalkan lesen perniagaan dan mengarahkan kilang itu berpindah ke lokasi lebih sesuai.

“Namun MMKN dikatakan kembali meluluskan kilang berkenaan untuk beroperasi di Kampung Jenjarom dan memberitahu kilang itu dikendalikan oleh syarikat baharu,” katanya.

Ketika perhimpunan itu, memorandum yang dihantar diterima oleh Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan SUK Selangor, Norisham Sharuddin.

Dalam pada itu, seorang penduduk yang hadir, Sarmiah Panita, 65, mendakwa cucunya dijangkiti kuman pada paru-paru dipercayai akibat pencemaran udara yang dilakukan kilang itu berikutan premis berkenaan dibina kira-kira 100 meter dari rumahnya.

“Pada awal tahun 2018, cucu sulung yang baru berusia setahun tiba-tiba sakit teruk dan telah dibawa ke hospital berdekatan. Doktor yang merawatnya mengesahkan bahawa jantungnya dijangkiti kuman dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk bernafas.

“Selepas kejadian itu, anak saya terus berpindah ke rumah kerana bimbang kejadian sama berulang,” luahnya yang bimbang kejadian sama berlaku lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN