Kompaun ceramah PRN Melaka dua darjat - Kit Siang  - Utusan Malaysia

Kompaun ceramah PRN Melaka dua darjat – Kit Siang 

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa didakwa mengamalkan dua darjat selepas mengenakan kompaun RM10,000 kepada PKR walaupun parti itu mengadakan ceramah tanpa kehadiran orang ramai secara fizikal di Melaka, semalam. 

Ahli Parlimen Iskandar Puteri DAP, Lim Kit Siang berkata, ia berbeza pula dengan dua bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang belum dikenakan tindakan undang-undang selepas melakukan aktiviti sama secara bersembunyi. 

Justeru, Penasihat DAP menyifatkan tindakan undang-undang berkenaan sebagai kemuncak `kebodohan’ sedangkan kerajaan sudah menguatkuasakan larangan terhadap sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN). 

“Saya fikirkan, PKR Melaka sepatutnya dipuji kerana menggunakan cara yang unik untuk berkempen dalam PRN ini yang mengambil kira kepentingan untuk tidak memburukkan lagi keadaan Covid-19 dalam negara dan  meneruskan objektif mencapai satu pilihan raya yang bebas, adil, dan bersih, sebaliknya mereka dikenakan denda RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, PKR Melaka mengesahkan menerima kompaun RM10,000  kerana mengadakan acara berkaitan pilihan raya sedangkan mereka mendakwa ceramah bergerak dijalankan tanpa kehadiran orang ramai bagi mengelak jangkitan Covid-19. 

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan semua kegiatan, perhimpunan, berkempen atau majlis sosial tidak dibenarkan sepanjang tempoh perjalanan pilihan raya negeri itu yang berkuat kuasa sehingga 27 November ini. 

Bagaimanapun, terdapat pihak yang mendakwa sekatan berkenaan tidak wajar  untuk sistem demokrasi negara dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlu dipertimbang. 

Dalam pada itu, kata Kit Siang, larangan tersebut perlu dibatalkan segera dan digantikan dengan SOP yang khusus untuk pilihan raya di Melaka kerana disifatkan sebagai tidak praktikal. 

“Kerana inilah saya telah menyeru supaya satu mesyuarat diadakan bersama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Kementerian Kesihatan dan semua parti politik yang berminat dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) NGO yang berkenaan untuk membincangkan perkara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya