JOHOR BAHRU: Nasib pengusaha bas termasuk yang menyediakan perkhidmatan bas sekolah masih tidak terbela khususnya melibatkan para peminjam mikro dalam soal hutang kredit yang tertunggak.
Pengerusi Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM), R. Thiagarajan menyatakan kekecewaan terhadap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang didakwa mengabaikan tanggungjawab bagi menjaga industri bas tempatan yang terkesan akibat Covid-19.
Menurut beliau, pelaksanaan Skim Rehabilitasi Bas Dan Taxi yang dilaksana kerajaan sebelum ini melibatkan 640 syarikat yang kebanyakannya syarikat besar dan berstatus sendirian berhad.
Malah, menurut beliau, daripada 22 syarikat kredit berlesen dan tidak berlesen yang disenaraikan hanya tujuh syarikat kredit yang terlibat dalam skim berkenaan.
“Kegagalan Menteri Pengangkutan menunaikan tanggungjawab amat ketara kerana sehingga hari ini masih mengelak dan enggan berjumpa kami yang membawa isu dan keluhan pengusaha dan pemandu yang berdasarkan fakta dan bukannya seperti pihak lain.
“Nasib peminjam-peminjam daripada baki 15 buah syarikat kredit masih tidak terbela iaitu kebanyakan peminjam-peminjam mikro seperti pengusaha bas sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Thiagarajan, SGBM telah menghadiri sesi dialog bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 10 November lalu untuk membangkitkan isu pinjaman kredit dan memohon bantuan memberikan pinjaman daripada bank untuk membantu pengusaha melangsaikan hutang kredit tertunggak yang puratanya bawah RM100,000.
Bagaimanapun, ujarnya, sehingga kini masih tidak mendapat jawapan dan terdapat juga permohonan pinjaman daripada bank ditolak dengan alasan-alasan tertentu.
“Akta 829 akan tamat pada 31 Disember ini, sekiranya langkah segera tidak diambil oleh kementerian pengusaha yang tidak mendapat pembelaan ini akan menghantar kenderaan yang berhutang ke Putrajaya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Thiagarajan yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Pengusaha dan Pemandu Bas Negeri Johor turut melahirkan kekesalan apabila tidak dilibatkan dalam sesi simulasi pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat, semalam.
“Kami juga tidak dimaklumkan dengan tepat tarikh pembukaan sempadan tersebut walaupun terdapat mesyuarat SGBM dengan Kementerian Pengangkutan pada 15 November lalu selain terdapat percanggahan maklumat seperti diumumkan selepas itu,” katanya.- UTUSAN