Jangan petik, makan cendawan tumbuh di hutan, rumah - Utusan Malaysia

Jangan petik, makan cendawan tumbuh di hutan, rumah

SPESIES cendawan liar tidak boelh dimakan sesuka hati kerana berkemungkinan mengandungi racun .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Orang ramai dinasihatkan agar tidak memetik dan memakan cendawan yang tumbuh di kawasan hutan atau di sekitar rumah bagi mengelak sebarang kejadian keracunan makanan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Aqilah Mohammad berkata, kesilapan mengenal pasti cendawan boleh membawa padah kerana bentuk luaran spesis yang boleh dimakan dan beracun adalah hampir sama, bahkan kadang kala kedua-duanya boleh tumbuh bersebelahan. 

AQILAH MOHAMMAD

Katanya, langkah itu penting bagi mengelak gejala iritasi seperti loya, muntah, cirit-birit dan demam jika cendawan yang dimakan itu mengandungi toksin yang menyebabkan keracunan. 

“Berdasarkan kes yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, spesies cendawan liar yang menyebabkan keracunan makanan adalah Chlorophyllum molybdites kerana bentuknya seakan-akan cendawan busut atau tahun yang diketahui umum boleh dimakan.

“Tidak semua cendawan yang tumbuh di persekitaran kita terutama di kawasan lapang, padang rumput atau kebun selamat, jadi saya minta orang ramai supaya hanya memakan spesies cendawan atau kulat yang biasa dimakan atau dijual di pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan nasib malang sembilan beranak di Kampung Nyiur, Paka di Dungun yang mengalami muntah termasuk muntah darah gara-gara menikmati hidangan sayur cendawan goreng yang dipercayai beracun, minggu lalu.

Kejadian pada 8 November itu mengakibatkan keluarga Nurul Musfirah Ghazali, 32, termasuk suaminya, Muhammad Nurhadi, 36, dan tujuh anaknya yang berusia antara empat hingga 13 tahun terpaksa dirawat di Hospital Dungun selama tiga hari.

Aqilah berkata, antara jenis toksin yang terkandung dalam cendawan beracun adalah amatoxin, psilocybin dan muscarine.

Katanya, terdapat juga toksin cendawan beracun yang boleh mengakibatkan gangguan halusinasi dan kecelaruan fikiran kepada manusia di samping memberi kesan jangka panjang kepada organ-organ dalaman, bahkan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. 

“Berdasarkan gambar yang tular di media sosial, kebanyakan cendawan yang dipetik mangsa kelihatan masih belum matang dengan bahagian payung atau topi belum terbuka sepenuhnya. Keadaan ini menyukarkan ahli mikologi untuk mengenal pasti spesis cendawan itu kerana memerlukan sampelnya untuk diuji di makmal,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.