Durian Musang King tidak disyor tanam di hutan simpan - Utusan Malaysia

Durian Musang King tidak disyor tanam di hutan simpan

PEMANDANGAN Hutan Simpan Gunung Inas di Baling, Kedah yang musnah ditanam secara haram ratusan ribu anak pokok durian musang king. – GAMBAR ihsan PEKA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) bersyukur apabila pihak Kerajaan Pusat mengakui pokok durian Musang King tidak sesuai ditanam di hutan simpan.

Pengesahan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada webinar anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang diadakan kelmarin itu ternyata menyebelahi Peka.

Wakil badan bukan kerajaan alam sekitar itu di Kedah, Mohd. Sobri Ramlee berkata, jawapan bertulis agensi tersebut menunjukkan hutan simpan tidak wajar ditanam pokok berkenaan.

“Apa yang saya tertarik ialah penegasan jabatan itu di peringkat Persekutuan apabila telah pun mengambil perhatian terhadap sebarang aktiviti yang berlaku dalam hutan simpanan kekal.

“Ini termasuk penubuhan ladang hutan oleh kerajaan negeri tertentu dan mengesahkan pokok spesies durian Musang King tidak disenaraikan untuk disyor tanam,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga Penasihat Sahabat Alam Sik merujuk tindakan ‘rakus’ individu tertentu di Kedah menanam pokok itu seluas lebih 10,000 hektar di Hutan Simpan Gunung Inas di Baling.

Projek ladang hutan diusahakan sejak 2019 itu telah menjejaskan teruk kehidupan lebih 4,000 penduduk dari enam buah kampung sekitar Kupang termasuk gangguan bekalan air bersih.

Ia meliputi Kampung Tanjung Nering, Kampung Bok Bak, Kampung Masjid Iboi, Kampung Padang Empang, Kampung Iboi dan Kampung Bukit Iboi selain juga kawasan riadah Lata Celak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan media telah pun mengarahkan pemberhentian penanaman 550,000 anak pokok buah durian itu awal Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Sobri mempertikaikan bagaimana boleh ditanam ribuan pokok durian premium itu di hutan simpan sehingga bukit botak ditarah dan banyak pokok balak ditebang.

“Musang King memang tidak disyorkan sejak dahulu lagi, tetapi, ada pihak lain lebih berkuasa bebas buat macam-macam daripada Jabatan Perhutanan sendiri,” katanya dalam nada kesal.

Webinar dikelolakan FRIM dengan tajuk ‘Kelestarian Hutan: Mengimbangi Pertumbuhan Ekonomi dan Kesejahteraan Sejagat itu turut mendapat kerjasama Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pada masa sama, beliau mendakwa tiada hasil kajian impak alam sekitar (EIA) bagi kelulusan penanaman durian musang king apatah lagi memberi faedah kepada para penduduk tempatan.

Keadaan itu menyerupai isu melibatkan lebih 30 pengusaha kebun haram durian itu seluas 90 hektar di Hutan Simpan Ulu Galas, Jajahan Gua Musang di Kelantan yang tular bulan lepas.

Begitu juga kes kontroversi penanaman haram durian itu seluas 101 hektar di Hutan Simpan Batu Talam dalam Daerah Raub, Pahang sejak dua dekad yang kecoh pada sekitar Julai lalu.

Durian Musang King atau gred D197 turut disebut Raja Kunyit kerana keunikan rasa isinya dan mendapat permintaan tinggi di Singapura selain China dengan harga jualan yang amat mahal. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya