Calon lompat parti  punca PH kalah teruk - Utusan Malaysia

Calon lompat parti  punca PH kalah teruk

Wanita PKR yakin dapat menyumbang kemenangan pada PRN Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Langkah Pakatan Harapan (PH) mengetengahkan calon yang melompat parti sehingga  punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka menjadi antara faktor gabungan tersebut khususnya PKR kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu lalu.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, pemimpin-pemimpin terbabit termasuk Datuk Seri Ir. Idris Haron telah dihukum dalam pilihan raya itu.

Menurut beliau, PH menerima kesan daripada langkah tersebut yang sekali gus memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).

Selain itu, katanya, rakyat juga telah hilang keyakinan kepada pembangkang khususnya PKR yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pengundi percaya pemimpin-pemimpin yang lompat parti seperti Idris dan rakan-rakan adalah disokong oleh PH khususnya Anwar.

“Maka, pengundi di Melaka telah menghukum pemimpin-pemimpin ini dan ternyata mereka kalah teruk dalam PRN Melaka itu,” katanya  kenyataan di sini hari ini.

BN memenangi 21 daripada 28 kerusi iaitu dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, menyaksikan tambahan lapan kerusi, berbanding 13 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU- 14).

Mereka menewaskan PH yang hanya memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi dengan lebih mengejutkan PKR gagal memenangi walau satu kerusi.

Idris sebelum ini mengetuai gerakan untuk menggulingkan kerajaan negeri bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad.

Sementara itu, Mashitah berkata, antara faktor kemenangan BN ialah peratusan keluar mengundi yang rendah selain rakyat menyedari rekod perkhidmatan PH dan PN sebelum ini yang gagal.

“Selain itu, jentera BN yang dilihat lebih teratur di bawah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta aura Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi antara penyumbang kemenangan besar tersebut.

“Malah, calon-calon muka baharu dan muda yang diketengahkan BN yang menampakkan perubahan membantu kemenangan parti. Selain itu, akar umbi Pas yang masih berpegang kepada Muafakat Nasional (MN) turut memainkan peranan kemenangan itu,” katanya.

 Tambah Mashitah, momentum kemenangan BN dijangka berterusan di beberapa negeri dalam PRU-15 dengan syarat pilihan raya tersebut diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kalau diadakan dalam tempoh setahun lagi, sukar diramalkan, kerana dalam politik macam-macam dinamik politik boleh berlaku,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN