Banjir besar 2014 boleh berulang - Utusan Malaysia

Banjir besar 2014 boleh berulang

PARAS air Sungai Perak yang hampir melimpahi tebing berdekatan dengan kawasan kolam ternakan ikan di Kampung Gajah dekat Pasir Salak, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Penduduk di beberapa buah kampung berhampiran Sungai Perak di Kampung Gajah di sini, bimbang penempatan mereka dilanda banjir berikutan air Sungai Perak naik sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, paras air naik dan di beberapa kawasan semakin menghampiri tebing sungai malah ada yang sudah dilimpahi air termasuk di Kompleks Sejarah Pasir Salak, dekat sini.

Antara kampung yang sering dilanda banjir jika paras air Sungai Perak naik ialah Kampung Teluk, Kampung Pasir Salak, Kampung Bandar Lama dan Kampung Tua yang terletak di kawasan rendah berhampiran sungai.

Penduduk berkata, jika aras Sungai Perak terus mencatat peningkatan, tidak mustahil banjir besar yang berlaku di sini pada 2014 boleh berulang.

Seorang penduduk Kampung Bendang, Mohamad Afandi Salimon, 61, berkata, paras air sungai naik sejak dua hari lalu berikutan musim tengkujuh.

Katanya, keadaan itu membimbangkannnya kerana rumahnya terletak berhampiran sungai.

“Saya bimbang jika banjir kerana penglihatan saya tak berapa baik manakala isteri pula sakit buah pinggang. Sekiranya rumah kami dilanda banjir, macam mana keadaan isteri saya.

“Lebih membimbangkan ramalan berlaku fenomena air pasang besar beberapa hari lagi sekali gus mengingatkan saya banjir besar yang pernah melanda kawasan ini pada 2014.

“Saya harap banjir besar itu tidak berulang, kalau berlaku ia menyusahkan saya tambahan pula ketika ini wabak Covid-19 jika terpaksa berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar di Kampung Teluk Sareh, Hafiz Nor Azam, 17, berkata, dia tidak senang duduk sejak air Sungai Perak naik dua hari lalu kerana bimbang rumahnya yang terletak di tepi sungai Perak dinaiki air.

Katanya, keluarganya sentiasa berjaga-jaga termasuk memindahkan peralatan rumah ke tempat yang lebih tinggi.

“Sebelum ini, rumah saya sering dinaiki air Sungai Perak yang melimpahi tebing setiap kali hujan lebat.

“Sejak air sungai naik, saya memantau paras sungai di Jeti Bendang Besar, Kampung Gajah. Saya tengok air semakin naik, bimbang jika banjir melanda terutama jika air sungai naik pada waktu malam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN