Air laut pasang besar bawa timbunan pasir - Utusan Malaysia

Air laut pasang besar bawa timbunan pasir

MOHD. Naim Omar menunjukkan singki pencuci tangan separuh tenggelam dengan timbunan pasir melebihi tiga kaki akibat bawaan ombak daripada air laut pasang besar yang berlaku pada awal bulan Oktober lalu dekat restorannya di Jeram, Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Timbunan pasir selepas fenomena air laut pasang besar yang berlaku pada awal bulan lalu sengaja dibiarkan oleh seorang pemilik restoran di Pantai Remis, Jeram di sini.

Pasir tersebut didakwa adalah bawaan air dan ombak akibat fenomena berkenaan sehingga melitupi sebahagian besar ruang Restoran Aroma Ikan Bakar milik Mohd. Naim Omar, 56 yang menyifatkan kejadian pada bulan lalu itu sebagai paling buruk.

Menurutnya, premis perniagaannya itu pernah ditenggelami akibat air laut pasang besar sebanyak tiga kali sepanjang hampir 20 tahun beroperasi.

“Ketika itu air laut tengah naik berserta angin kuat menyebabkan ombak tinggi membawa pasir ke dalam ruang meja makan berhampiran kawasan pantai. Tinggi timbunan pasir, naik melebihi tiga kaki.

“Tetapi sengaja saya biarkan sebab memang jangka fenomena itu berlaku lagi mulai esok, dengan harapan timbunan pasir itu menghalang air daripada lepas masuk ke dalam kedai. Bagaimanapun, persediaan lain turut dilakukan termasuk memindahkan barangan elektrik dan bahan mentah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah pesara polis itu, dia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan selepas fenomena berkenaan dan menganggarkan kerugian yang dihadapi tidak besar iaitu sekitar RM4,000 sehingga RM5,000.

“Ada peralatan elektrik yang rosak sebelum ini, tetapi sudah pun diganti. Cuma selepas fenomena ini, saya perlu bersihkan timbunan pasir dan pindahkannya kembali ke kawasan pantai supaya persekitaran di sini cantik seperti dahulu,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, fenomena air laut pasang besar dijangka kembali berulang selama empat hari mulai esok apabila paras air diramalkan mencecah sehingga 5.6 meter.

Sehubungan itu, pantai tumpuan di Kuala Langat seperti Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat dimaklumkan ditutup oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sebagai langkah keselamatan.

Kejadian pertama fenomena itu adalah pada awal bulan lalu menyebabkan kawasan rumah terutama di Pulau Ketam dan Kampung Bagan Hailam di Pelabuhan Klang ditenggelami air.

Penduduk Kampung Bagan Hailam turut menyifatkan insiden itu terburuk sejak 20 tahun.

Dalam pada itu, seorang peniaga sebuah restoran berhampiran kawasan rekreasi Pantai Remis, Mohd. Fadzly Hasan, 31, memberitahu, premis dan rumahnya yang terletak di sini dijangka tidak terjejas apabila terdapat tebing batu.

“Tebing batu itu sudah hampir lima tahun dibina dan alhamdulillah, belum pernah lagi air laut pasang besar dapat melepasinya. Tebing berkenaan sebelum ini berjaya menghalang air daripada melimpahi kawasan tempat letak kereta dan restoran serta medan selera di sini.

“Tetapi pernah dahulu sebelum ada tebing batu, air laut pasang besar membanjiri rumah penduduk di sini pada ketinggian melebihi satu meter. Bagaimanapun, sekarang langkah berjaga-jaga tetap diambil untuk mengelakkan daripada kejadian buruk berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya