MELAKA: Seramai 482,549 pengundi akan menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok bagi memilih 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kerajaan baharu untuk membawa agenda pembangunan negeri dalam tempoh lima tahun.
Menjelang hari membuang undi, mereka mempunyai tempoh 24 jam lagi untuk membulatkan keputusan memilih mana-mana 112 calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional dan Bebas.
Faktor calon ketua menteri dan manifesto setiap parti dijangka mempengaruhi sentimen pengundi selain isu-isu tempatan yang melibatkan lompat parti dan profil prestasi semasa pemerintahan BN, PH dan PN di peringkat Persekutuan mahupun negeri.
Selepas tiga ketua menteri bertukar dalam tempoh tiga tahun setengah, BN masih mengekalkan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali selaku ketua menteri manakala PH meletakkan bekas ketua menteri yang juga penyandang kerusi Bukit Katil, Adly Zahari.
PN pula pada saat akhir mengumumkan calon Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon ketua menteri parti itu jika menang pilihan raya ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sulaiman meminta rakyat memberikan peluang kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri kerana parti itu satu-satunya yang mempunyai rekod cemerlang mentadbir Melaka sejak negara mencapai kemerdekaan.
Menurut beliau, mengambil moto BN iaitu ‘ Kestabilan Demi Kemakmuran’, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksikan politik negara termasuk Melaka tidak stabil apabila pihak diberikan mandat oleh rakyat gagal menjalankan amanah dan tidak menunaikan janji manifesto dalam tempoh 22 bulan pentadbiran.
“Kerajaan negeri akhirnya tumbang akibat tiada kestabilan selepas masing-masing bercakaran siang dan malam merebut kuasa untuk menjadi pemimpin. Rakyat kemudian menjadi mangsa keadaan.
“PRU-14, tiga kali Perdana Menteri, Melaka pula dua Ketua Menteri. Ini sebab salah pilih, jadi waktu inilah kita perlu buat pilihan yang betul. Jadi pilihlah yang stabil iaitu BN,” jelasnya.
Sementara itu, Adly berkata, PH yakin dapat merampas semula kerajaan kerana mempunyai 10 kerusi selamat dan hanya tinggal lima lagi bagi mencukupkan majoriti mudah membentuk kerajaan.
Pengerusi PH Melaka itu memberitahu, pihaknya kini sudah berjaya mencapai sasaran 70 peratus dalam misi merampas semula kerajaan manakala selebihnya bergantung kepada saat-saat terakhir menjelang hari pengundian.
“Keyakinan itu bersandarkan tiga faktor iaitu rekod cemerlang pentadbiran 22 bulan PH, pertembungan antara parti kerajaan iaitu BN dan PN dan pengaruh calon DUN Asahan, Datuk Seri Idris Haron selaku bekas ketua menteri.
“Penerimaan positif pengundi bukan sahaja ketika kempen bermula, malah sebelum hari penamaan lagi apabila majoriti rakyat mahu PH kembali menjadi kerajaan. Cuma cabaran kini hanya bagaimana untuk mengajak pengundi untuk keluar mengundi,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen pula berkata, penduduk Melaka menunggu sebuah kerajaan yang prihatin dan perkara itu hanya boleh berlaku jika PN diberikan mandat dalam PRN Melaka.
Menurut calon PN DUN Telok Mas itu, PN berjanji menawarkan khidmat sebuah kerajaan yang diidamkan rakyat dan perkara berkenaan tidak sekadar cakap-cakap kosong kerana pernah dibuktikan ketika kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Sepanjang kempen pilihan raya, rata-rata rakyat Melaka mahu perubahan kerajaan iaitu sebuah pentadbiran yang prihatin.
“Dalam konteks ini, ramai pengundi tahu dengan jasa-jasa Tan Sri sepanjang beliau memimpin kerajaan PN,” katanya.
Mohd. Rafiq menambah, PN akan menjadi sebuah kerajaan dan pentadbiran yang mewakili semua kaum dan agama meskipun terdapat dua parti terbesar Melayu-Islam iaitu Bersatu dan Pas.
Oleh sebab itu, calon-calon pilihan raya diletakkan PN terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama serta lapisan agar dapat mewakili suara semua agar nasib mereka terus terbela.
“Oleh itu saya berharap rakyat dapat memberikan kami mandat untuk membentuk kerajaan agar dapat menunaikan semua manifesto PN dalam tempoh lima tempoh.
“Kita tidak meletakkan sasaran kerusi tetapi mahu menang dan boleh membentuk kerajaan,” jelas beliau. – UTUSAN










