PETALING JAYA: Sebanyak 13 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan satu insiden paip pecah di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Kuala Lumpur.
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, bagi memastikan kerja-kerja pembaikan paip dapat dilaksanakan, Air Selangor menutup bekalan air pada pukul 11:30 pagi tadi.
Katanya, kerja-kerja pembaikan dijangka siap sepenuhnya pada pukul 11:30 pagi esok dan para pengguna dijangka mula menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat selepas kerja-kerja siap dilaksanakan.
“Antara kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini adalah Taman Muda, Taman Bukit Permai, Taman Bukit Pandan, Kg Cheras Baru, Taman Mawar dan Taman Seraya.
“Selain itu, Taman Mega, Taman Bukit Teratai, Taman Melur, Taman Saga, Taman Putra, Pandan Mewah dan Taman Mestika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Air Selangor, lori-lori tangki digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Katanya, para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki itu.
“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 untuk mendapatkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
“Sebarang pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE