JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah yang didalangi pasangan suami isteri tumpas selain pelbagai jenis dadah bernilai RM4.2 juta dirampas dalam serbuan di empat buah rumah sekitar daerah ini antara 21 hingga 28 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, dalam serbuan bersama JSJN Johor itu, tujuh suspek termasuk seorang wanita warganegara China berusia 39 hingga 48 tahun ditahan.
Beliau berkata, sindiket yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah di sekitar negeri ini disyaki mula aktif sejak pertengahan tahun ini.
“Hasil serbuan JSJN telah berjaya merampas 115.1 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 528 gram (g) dadah jenis ketamin, 52.8g (ekstasi), 91.8g (mushroom), 10.5g (eramin 5) dan 9.17g (pil Yaba) yang dianggarkan bernilai RM4.2 juta.
“Dalam serbuan itu, kita turut menahan pasangan suami isteri berusia 41 dan 48 tahun yang dipercayai dalang sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas seutas rantai emas, lima buah kereta, wang tunai RM6,870 selain membekukan 11 akaun bank dengan anggaran keseluruhan rampasan yang bernilai RM689,601.
Razarudin berkata, sindiket itu dipercayai memperoleh bekalan terbabit dari negara jiran yang dibawa masuk dari utara Semenanjung dan mampu menampung keperluan seramai 587,222 penagih.
“Kita percaya kumpulan ini bukan sahaja mengedar dadah untuk pasaran tempatan, tetapi juga untuk kegunaan antarabangsa.
“Empat buah rumah yang diserbu itu dijadikan tempat untuk membungkus semula dan setiap bungkus itu seberat satu kilogram,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut mendapati lima suspek termasuk pasangan suami isteri yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Malah, ujian air kencing terhadap enam suspek termasuk pasangan suami isteri itu juga turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE