Sekolah di Johor, Pahang dibuka ikut fasa baharu bermula 24 dan 25 Oktober - Utusan Malaysia

Sekolah di Johor, Pahang dibuka ikut fasa baharu bermula 24 dan 25 Oktober

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pembukaan institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan di Johor dan Pahang mengikut peralihan fasa baharu iaitu masing-masing Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) adalah bermula 24 dan 25 Oktober ini.

Dalam kenyataannya,  kementerian berkenaan menetapkan bahawa jika sesebuah negeri beralih ke fasa  seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan mengikut  ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu  daripada tarikh peralihan ke fasa tersebut. 

Sehubungan itu, katanya, pembukaan institusi pendidikan bawah kementerian berkenaan bagi Johor kekal pada 10 Oktober ini iaitu berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 2 sebelum ini.  

“Ini melibatkan kehadiran murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah  kebangsaan pendidikan khas (SKPK), sekolah menengah pendidikan  khas vokasional (SMPKV) dan program pendidikan khas integrasi (PPKI), murid tingkatan 6 semester 2, program prauniversiti semester  3 di sekolah-sekolah sukan Malaysia dan murid kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, A-Level dan Sijil SekolahTinggi Australia), ” kata kenyataan tersebut hari ini.

Kementerian berkenaan berkata, pengoperasian institusi pendidikan mengikut ketetapan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Johor yang akan bermula 24 Oktober adalah melibatkan kehadiran murid prasekolah, kelas peperiksaan awam di sekolah asrama sepenuhnya di sekolah harian sekolah swasta, prauniversiti sekolah sukan Malaysia serta kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Sementara itu, pengoperasian institusi pendidikan bawah kementerian yang sama di Pahang pula kekal pada 11 Oktober ini berdasarkan ketetapan negeri Fasa 3 PPN.  

Katanya, pengoperasian institusi pendidikan di Pahang berdasarkan  ketetapan Fasa 4 PPN hanya akan bermula pada 25 Oktober iaitu melibatkan kehadiran MBK di SKPK, SMPKV dan PPKI, murid  prasekolah dan Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3).

Selain itu, ia turut melibatkan murid Tingkatan 6 dan  kelas peperiksaan awam, murid prauniversiti di sekolah sukan Malaysia, murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 4 di sekolah asrama  sepenuhnya, sekolah harian dan sekolah swasta, serta murid kelas  peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level, dan A-Level dan  murid kelas peperiksaan antarabangsa yang lain.

Kementerian berkenaan menjelaskan, institusi pendidikan bawahnya ini merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bagi kategori sekolah dan kategori pusat. 

“Kementerian Pendidikan juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua  institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan kementerian berkenaan termasuk institusi  pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya