JOHOR BAHRU: Sejumlah 14 sekatan jalan raya (SJR) yang dikuatkuasakan sempena Op Benteng akan dikekalkan di negeri ini walaupun kebenaran rentas negeri diumumkan kerajaan bermula esok.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah SJR itu bagaimanapun dikurangkan berbanding 31 lokasi yang beroperasi di seluruh negeri ketika ini.
Menurut beliau, sebanyak 14 SJR itu bertujuan untuk pemantauan kes berkaitan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Ketika ini masih terdapat 31 SJR yang beroperasi seluruh negeri, namun selepas kebenaran rentas negeri diberikan, hanya 14 SJR akan kekal iaitu yang melibatkan Op Benteng.
“Op Benteng tiada kaitan dengan Covid-19 sebaliknya ia berkaitan dengan penyeludupan PATI, barangan kontraban dan sebagainya. Jadi ia menumpu kepada menangani isu penyeludupan,” katanya di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran merentas negeri akan dilaksanakan serentak di seluruh negara bermula esok selepas kadar vaksin populasi negara mencecah 90 peratus.
Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan pasukan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditubuhkan pihaknya juga akan terus melaksanakan kerja-kerja penguatkuasaan bagi memastikan masyarakat awam mematuhi peraturan ditetapkan.
“Seperti biasa, kita akan terus melakukan pemantauan dan ia akan turut dipertingkatkan dari masa ke semasa.
“Buat waktu ini kita masih dalam usaha menasihati dan mendidik masyarakat namun sekiranya mereka masih berdegil, tindakan akan diambil mengikut undang-undang,” ujarnya.- UTUSAN