RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa mengambil masa 20 minit untuk ‘menumpaskan’ penjenayah yang cuba melarikan lori membawa muatan lembu seludup di Taman Purnama Lubok Jong di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8 malam, pasukan Batalion 8 PGA berjaya menahan lori tersebut dan merampas tujuh ekor lembu baka Brahman dianggarkan bernilai RM88,200.
Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintenden Azhari Nusi berkata, sebelum kejadian anggota bertugas terserempak dengan lori dipandu mencurigakan dari arah bulatan Pohon Tanjong menghala ke Repek.
Menurut beliau, anggota bertugas terus mengekori lori berkenaan dan telah mengarahkan pemandu berhenti bagi tujuan pemeriksaan.
“Bagaimanapun, pemandu lori memecut laju memaksa anggota PGA mengejar kenderaan itu. Apabila tiba di Taman Purnama, kira-kira 20 minit kemudian, pemandunya memberhentikan lori tersebut di tepi jalan sebelum melarikan diri ke dalam semak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azhari memberitahu, pemeriksaan atas lori itu menjumpai tujuh ekor lembu baka Brahman tanpa permit atau dokumen perjalanan yang sah.- UTUSAN










