Pesawah mahu subsidi benih padi - Utusan Malaysia

Pesawah mahu subsidi benih padi

SEBAHAGIAN petani yang berkumpul bagi membantah kenaikan harga benih padi di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RIFAAT ABD. HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) mendesak kerajaan memberi subsidi benih padi kepada petani supaya mereka dapat membelinya dengan harga berpatutan.

Pengerusi Pesawah, Mohd. Fuad Yaacob berkata, petani yang mengusahakan tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kecewa dengan harga benih padi yang dikeluarkan oleh kilang tidak selaras malah membebankan petani.

Katanya, difahamkan setiap tahun kerajaan memperuntukkan sebanyak RM70 juta subsidi benih padi kepada pihak pengilang tetapi masih dijual dengan harga yang tinggi di pasaran.

Menurutnya, harga benih padi yang dijual sekarang lebih tinggi antara RM53 hingga RM50 bagi setiap guni seberat 20 kilogram.

“Kerajaan memberikan subsidi benih padi kepada pengilang tetapi petani masih membelinya pada harga tinggi. 

“Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang pembekalkan benih padi kepada petani pada musim lalu dijual pada harga silingnya RM35 seguni,”  katanya dalam sidang akhbar di Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Jumlah keperluan benih padi di kawasan Mada pada setiap musim penanaman  adalah sebanyak 35,000 tan metrik melibatkan kawasan seluas 100,685 hektar.

Selain itu, Mohd. Fuad berkata, pihaknya kesal apabila kilang yang dilantik untuk membekalkan benih padi kepada petani gagal melaksanakan tanggungjawab tersebut sehingga berlaku kelewatan membekalkan benih padi.

Menurutnya, punca kelewatan membekalkan benih padi itu apabila dimonopoli  beberapa kilang sahaja. 

“Lebih dikesalkan, tiada tindakan diambil ke atas kilang yang lewat menghantar bekalan benih padi kepada petani.

“Kelewatan membekalkan benih padi tersebut menyebabkan petani tidak dapat menanam padi mengikut jadual yang ditetapkan oleh MADA dan petani terpaksa menanggung risiko berhadapan dengan musim kemarau selepas ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN